suria

Anak Ancam Bunuh Ibu Bapa Dengan Senapang Ditahan

MIRI: Seorang lelaki berusia 31 tahun ditahan polis pada Sabtu setelah bapanya melaporkan kepada pihak berkuasa tindakan anaknya mengancam untuk membunuh ibu bapa kandung sendiri petang Jumaat.

Ketua Polis Daerah Miri Gan Tian Kee ketika mengesahkan tangkapan itu berkata suspek telah ditahan pukul 11.20 pagi Sabtu di Pondok Kebun, Ladang South Wind di sini dan turut dirampas selaras senapang buatan sendiri dan lima peluru yang dipercayai digunakan untuk mengancam kedua-dua mangsa.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan berdasarkan maklumat daripada bapanya, anaknya sering bertindak agresif apabila mabuk," katany.

Suspek yang dipercayai mabuk pada mulanya hanya bertengkar dengan ibu bapanya di sebuah kebun berhampiran sebuah rumah panjang dikenali Rumah Wing, Sungai Poh Suai Niah pukul 4 petang Jumaat.

Bagaimanapun setibanya di rumah suspek turut merosakkan barangan di dalam rumah serta mengancam hendak membakar rumah dan mengancam kedua orang tuanya menggunakan senapang buatan sendiri memaksa bapa mangsa yang berusia 58 tahun membuat laporan polis.

Pada 9 Julai lepas Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Muhammad Sabtu Osman dipetik berkata masalah kewujudan senjata api buatan sendiri di Sarawak kini membimbangkan pihak polis berdasarkan jumlah rampasan yang tinggi semasa Ops Cantas di negeri ini dengan kes tertinggi berlaku di Sibu dan Miri.
anak, ibu bapa, bunuh

Artikel Lain