suria

Anggota TLDM Disyaki Militan Dibebaskan

Tan Sri Abdul Aziz Jaafar

KUALA LUMPUR: Seorang anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang ditahan polis 13 Jun lepas kerana disyaki terlibat dengan kegiatan militan, dibebaskan tanpa syarat pada Khamis.

Panglima TLDM Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar berkata anggota terbabit dibebaskan dari Balai Polis Sandakan dan akan memulakan perkhidmatannya tidak lama lagi.

"Buat masa ini dia berada di Unit KD Sri Sandakan (Unit Tumpangan Sementara) kerana kapalnya sedang beroperasi di laut, ini merupakan berita gembira yang secara langsung telah mengembalikan imej dan nama baik TLDM," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas selesai merakamkan ucapan Hari Raya untuk seluruh kakitangan TLDM di Wisma Pertahanan di sini pada Khamis.

Menurutnya, beliau telah meminta PDRM khususnya Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar mengeluarkan kenyataan dalam masa terdekat.

Abdul Aziz berkata sejurus dimaklumkan dua anggotanya terlibat dalam kegiatan militan, pihakya menubuhkan pasukan khas bagi menjejaki kedua-dua anggota itu dan telah melakukan pemantauan terperinci terutama di unit-unit kawasan Sabah.

TLDM banyak mempunyai unit di Sabah seperti di Kota Kinabalu, Sandakan, Tawau dan Semporna, katanya.

TLDM dalam kenyataan sebelum ini mengesahkan seorang anggotanya yang berpangkat Laskar Kanan ditahan polis di Sandakan selepas disyaki terbabit dalam kegiatan militan.

Anggota TLDM itu itu ditahan bersama-sama seorang lagi anggota berpangkat Laskar Kelas Satu kerana disyaki membantu anggota militan menyusup masuk ke Sandakan dan melindunginya.

Sementara itu dalam perkembangan lain, beliau memberitahu Kapal Auxiliary TLDM Bunga Mas 5 (BM5) dari Pelabuhan Kelang akan digerakkan ke kawasan Sabah Timur pada 3 petang ini bagi mengatasi masalah pencerobohan dan penculikan di perairan Sabah.

"BM5 akan menjadi satu daripada komponen atau elemen 'Sea-Basing' dan saya yakin ia akan dapat memperkukuh pengawasan di perairan Sabah," katanya.


TLDM, Militan

Artikel Lain