suria

Ujian PT3 Dapat Respons Positif Daripada Orang Ramai - Mary Yap

KUALA LUMPUR: Ujian Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) yang menggantikan Penilaian Menengah Rendah (PMR) mula mendapat respons positif orang ramai sejak dilaksanakan pada 1 Julai lepas.

Timbalan Menteri Pendidikan Datuk Mary Yap Kain Ching berkata ibu bapa, guru dan pelajar yang mengambil PT3 menyifatkan ujian berkenaan sebagai inisiatif yang akan meningkatkan lagi mutu pendidikan di negara ini.

"Walaupun pada peringkat awal ia membebankan guru dan pelajar, namun setelah dilaksanakan, mereka mendapati ujian berkenaan begitu menyeronokkan dan memberi banyak faedah di mana pelajar lebih cenderung menggunakan internet untuk mencari bahan berbanding hanya menggunakan buku teks sebagai rujukan seperti sebelum ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan buku mewah bertajuk 'Wanita Hakka' di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini, Khamis.

PT3 melibatkan 63,000 pelajar di seluruh negara tahun ini.

Penilaian itu dimulakan dengan Instrumen Kajian Kes berbentuk kerja kursus bagi mata pelajaran Sejarah dan Geografi bermula 1 hingga 18 Julai.

Ini diikuti dengan ujian lisan (mendengar dan bertutur) bagi mata pelajaran Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris yang akan dijalankan dalam tempoh 6 hingga 29 Ogos ini, manakala ujian bertulis bagi 11 mata pelajaran lain pula akan diadakan pada 12 hingga 17 Okt depan.

Yap berkata meskipun terdapat komen negatif daripada segelintir ibu bapa mengenai ujian itu sebelum ini, namun setelah pelajar menjalani ujian tersebut, mereka semakin memahami tujuan pelaksanaan PT3.

"Kebimbangan ibu bapa terhadap pelaksanaan PT3 ini semakin berkurangan, malahan mereka turut memberikan maklum balas yang baik," katanya.

Beliau meminta ibu bapa dan ahli komuniti perlu memainkan peranan dalam membantu kementerian melaksanakan PT3 supaya ujian tersebut dapat dijalankan dengan lancar.

Menurutnya pendidikan bukan sahaja tanggungjawab Kementerian Pendidikan sebaliknya memerlukan kerjasama kolektif semua pihak untuk menjayakan hasrat Malaysia.


PT3

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain