suria

KFC, Pizza Hut Agih Hidangan Kepada 250 Rumah Kebajikan

Mohamed Khaled menyampaikan sumbangan duit raya pada majlis berbuka puasa dan pelancaran projek Penyayang KFC ke-64 serta Penghantaran Amal Pizza Hut di sini, Selasa.
JOHOR BAHARU: Dua rangkaian restoran makanan segera di bawah Johor Corporation (JCorp), KFC dan Pizza Hut akan menyumbangkan ayam goreng dan pizza percuma kepada 250 rumah kebajikan di seluruh negara pada 16 dan 17 Julai.

Sumbangan berkenaan dilakukan menerusi Projek Penyayang KFC ke-64 dan Penghantaran Amal Pizza Hut.

Menteri Besar Johor merangkap Pengerusi JCorp Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata lebih 20,000 anak yatim dan mereka yang kurang berkemampuan akan menikmati hidangan KFC serta pizza tersebut menerusi program berkenaan.

"JCorp dan syarikat-syarikat di dalamnya akan terus menyusun projek dan program kemasyarakatan supaya sebahagian daripada keuntungan yang dibuat kerajaan negeri dapat disalur kepada rakyat seperti yang dirancang," katanya.

Beliau berucap pada majlis berbuka puasa JCorp dan melancarkan projek berkenaan di Masjid Bandar Pasir Gudang, di sini malam tadi. Turut hadir Presiden dan Ketua Eksekutif JCorp Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim serta Anggota Parlimen Pasir Gudang Normala Abdul Samad.

Pada majlis itu, sebanyak 150 anak yatim, golongan kurang berkemampuan dan orang kurang upaya daripada lima rumah kebajikan turut diraikan dengan juadah berbuka puasa dan menerima sumbangan duit raya.

Sementara itu, Kamaruzzaman menerusi kenyataan berkata sebanyak 13,000 penghuni daripada 150 rumah kebajikan akan menerima agihan hidangan KFC menerusi Projek Penyayang kali ini.

Beliau berkata 7,500 penghuni daripada 100 rumah kebajikan pula akan menerima hidangan pizza menerusi program penghantaran amal itu yang turut meliputi kawasan pedalaman termasuk Sabah dan Sarawak.

Menurutnya, Projek Penyayang KFC membuat agihan hidangan percuma kepada rumah anak yatim dan kebajikan sebanyak empat kali setahun manakala penghantaran amal piza sebanyak dua kali setahun iaitu pada bulan Ramadan dan Tahun Baharu Cina.

"Sememangnya sebagai sebuah badan amal korporat yang prihatin, JCorp dan syarikat dalam kumpulan amat komited dalam melaksanakan program tanggungjawab korporat yang selari dengan visi JCorp iaitu 'Membina dan Membela'," katanya.
KFC, Pizza Hut

Artikel Lain