suria

Laporan Media Bolehkan Perjuangan Palestin Diteruskan

KUALA LUMPUR: Laporan media yang berterusan terutama di Malaysia mengenai penindasan Israel terhadap rakyat Palestin adalah bukti terhadap sokongan untuk membebaskan negara Palestin dan rakyatnya daripada kezaliman. 
 
"Pengerusi Pertubuhan Kebudayaan Palestin Malaysia (PCOM) Muslim Abu Umar berkata laporan seumpama itu juga akan membangkitkan kemarahan global, terutama dari negara Islam, untuk memberi bantuan kepada rakyat Palestin dalam pelbagai bentuk sama ada kewangan atau material.
 
"Ia juga mengenakan tekanan ke atas Israel supaya menghentikan penindasan terhadap rakyat Palestin," kata beliau ketika merasmikan Iftar Agung Tahunan keempat PCOM bersama masyarakat Palestin di Malaysia, di sini hari ini.

Iftar Agung PCOM ialah acara tahunan anjuran PCOM sejak empat tahun lalu bertujuan menghimpunkan masyarakat Palestin di Malaysia bersama rakan mereka rakyat Malaysia.

Beliau menyifatkan penyiaran laporan media seperti itu sebagai satu bentuk jihad, perjuangan kesatriaan dan menggesa pengamal media supaya tidak melupakan rakyat Palestin dan perjuangan untuk membebaskan tanah air mereka.
 
Muslim berkata laporan seperti itu juga akan membangkitkan semangat rakyat Palestin supaya jangan berputus asa dan meneruskan perjuangan untuk generasi akan datang ke arah mencapai matlamat perjuangan.

Sementara itu, ahli Majlis Pemegang Amanah PCOM Datuk Abdul Latiff Mirasa berkata Malaysia, sebagai negara Islam yang aman, harus bersatu untuk menyokong perjuangan rakyat Palestin dan menentang sebarang penindasan oleh Israel.
 
"Kita telah bersama dengan rakan di negara lain untuk merealisasikan perjuangan membebaskan Palestin daripada rejim Israel," kata beliau.

Beliau juga berkata pertubuhan itu telah membuka pejabatnya di Palestin untuk mengumpul dana antarabangsa bagi tujuan itu.

laporan media, Palestin

Artikel Sebelum

Artikel Lain