suria

Tujuh Lokasi Titik Panas Dikesan Dalam Negara - Palanivel

Imej satelit menunjukkan titik panas yang terdapat di kawasan Sumatera, Indoensia. -Gambar Ihsan Jabatan Meteorologi Malaysia.
KUALA LUMPUR: Tujuh lokasi di negara ini dikesan masih mempunyai titik panas (hotspot) sehingga semalam.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri G. Palanivel berkata, imej satelit Pentadbiran Atmosfera dan Lautan Kebangsaan (NOAA)-18 itu menunjukkan lima lokasi titik panas di Sarawak dan masing-masing satu di Pahang dan Selangor.

Dalam satu kenyataan medianya di sini, beliau berkata turut dikesan ialah 12 titik panas di Sumatera, Indonesia. 

Bagaimanapun, satelit tidak dapat memaparkan jumlah sebenar titik panas berikutan terdapat litupan awan tebal, katanya.

Mengenai kes pembakaran terbuka pula beliau berkata 294 kes daripada 4,007 kes yang dilaporkan pada tahun ini sehingga semalam telah dikenakan tindakan kompaun manakala 94 lagi diberi notis amaran. 

"Selain itu, 43 kertas siasatan bagi kesalahan melakukan pembakaran terbuka telah dibuka bagi tindakan pendakwaan di mahkamah," katanya.

Palanivel berkata demi menjaga kepentingan dan kesihatan awam, terutamanya dalam keadaan berjerebu, perintah larangan pembakaran terbuka juga masih berkuatkuasa di negeri Selangor, Melaka, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur dan Putrajaya selain memastikan pemantauan serta prosedur pencegahan dijalankan di seluruh negara. 

Beliau berkata peruntukan undang-undang yang memberi kuasa kepada pegawai Jabatan Alam Sekitar (JAS) menangkap penjenayah alam sekitar yang disyaki tanpa waran juga akan terus diguna pakai. 


titik panas, Palanivel

Artikel Lain