suria

Pelajar Tingkatan Dua Hilang Dua Jari Akibat Mercun

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim (dua, kiri) melihat keadaan pelajar tingkatan dua yang putus dua jari tangan kanan setelah mercun jenis botol yang dipasangnya meletup ketika bermain mercun itu di rumahnya di Kampung Luar Gual Periuk, Rantau Panjang Jumaat lalu, ketika melawat mangsa di Hospital Raja Perempuan Zainab II di Kota Baharu pada Ahad. -fotoBERNAMA
KOTA BAHARU: Seorang pelajar tingkatan dua di Kelantan, putus dua jari tangan kanan apabila mercun jenis botol yang dipasangnya, meletup di tangan.

Dalam kejadian Jumaat lepas di rumahnya di Kampung Luar Gual Periuk, Rantau Panjang, Mohd Idham Shafiq Mohd Tahar, 14, yang putus ibu jari dan jari tengah itu dikatakan mangsa pertama akibat bermain mercun di Kelantan. 

Datuk kepada mangsa, Mohd Rasid Ibrahim, 59, berkata kemalangan berlaku dalam kejadian kira-kira 2 petang selepas solat Jumaat ketika mangsa bermain bersama rakan-rakannya. 
 
"Memang saya dah nasihatkan dia jangan main mercun tetapi curi-curi main di belakang saya. 
 
"Lepas kena mercun tu dia terus dibawa kawan-kawannya ke Hospital Pasir Mas kerana kecederaan itu termasuk sedikit di bahagian pipi," katanya ketika ditemui pemberita di Hospital Raja Perempuan Zainab II di sini, hari ini. 

Sementara itu, Ketua Polis Kelantan Datuk Mazlan Lazim yang turut melawat mangsa berkata kes berkenaan merupakan kes pertama di Kelantan untuk tahun ini.
 
"Saya nasihat semua masyarakat di luar sana supaya tidak bermain mercun kerana ia boleh mengakibatkan kecederaan parah. 
 
"Ia juga merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 jadi saya harap orang ramai dapat mengambil iktibar," katanya. 

Artikel Lain