suria

Sukar Cari Pengganti Biduanita Negara - Ahmad Shabery

Ahmad Shabery Cheek.
PETALING JAYA: "Tidak tahu siapa yang boleh menggantikan Allahyarhamah Sharifah Aini sebagai legenda negara dalam bidang nyanyian, persembahan serta seni", kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek. 

Beliau berkata kematian biduanita negara Datuk Sharifah Aini Syed Jaafar itu merupakan satu kehilangan besar dalam industri hiburan tanah air.

"Banyak keistimewaan yang dimiliki beliau selaku biduanita negara selain daripada Allahyarhamah Saloma, beliau mempunyai cara tersendiri," katanya ketika ditemui pemberita selepas menziarahi jenazah Sharifah Aini di Masjid At-Taqwa , Taman Tun Dr Ismail di sini, Sabtu.

Ahmad Shabery berkata Allahyarhamah Sharifah Aini bukan sahaja dikenali peminat seni di Malaysia, malah satu ketika dulu pernah menempah nama di Eropah dan Asia Barat dengan irama klasik kontemporari.

"Lagu-lagunya evergreen (malar hijau), berkualiti dan enak didengar sepanjang zaman...sebab itu Sharifah Aini legenda kepada negara. Beliau juga artis paling banyak lahirkan album," katanya.

Ahmad Shabery juga menyifatkan Allahyarhamah sebagai seorang yang tidak pernah terikut-ikut trend dalam berfesyen untuk popular, sebaliknya sentiasa menjaga adab sopan dan tata susila Melayu.

"Pada ketika itu misalnya kalau seorang penyanyi mahu dikenali mestilah berpakaian yang bersifat popular. Tetapi seiingat saya, arwah kekal dengan adab sopan Melayu," katanya.

Beliau berkata walaupun bakat Sharifah Aini dicungkil menerusi Radio Televisyen Singapura (RTS) pada 1968 namun biduanita itu tetap sinonim dengan Radio Televisyen Malaysia (RTM) yang merupakan badan penyiaran tunggal tanah air pada ketika itu.

"RTM dan Sharifah Aini tidak boleh dipisahkan. Kalau boleh tiap minggu orang nak tengok beliau di kaca televisyen menyanyi," katanya.

Sharifah Aini, 61, meninggal dunia pada pukul 1.26 pagi Sabtu di Hospital Pakar Perubatan Damansara dan meninggalkan seorang anak, Aliff Omar.

Menurut adik Allahayarhamah, Syed Tahir, penyanyi yang terkenal dengan lagu Seri Dewi Malam, Bunga Tanjung, Terbang Helang itu dibawa ke hospital untuk menerima rawatan rapi pada Isnin lalu setelah mengadu sesak nafas. 

Jenazahnya akan dikebumikan di tanah perkuburan Bukit Kiara dekat sini sebelum solat Zuhur.

Artikel Berikut

Artikel Lain