suria

Empat Disyaki Anggota Kanan LTTE Ditahan

Pegawai Bahagian Counter Terrorism, Cawangan Khas, Bukit Aman menahan tiga daripada empat individu yang disyaki anggota kanan LTTE di Lembah Klang pada Khamis.
KUALA LUMPUR: Polis menahan empat individu yang disyaki anggota kanan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) dalam tiga serbuan di Lembah Klang pada Khamis lalu.

Suspek dikatakan merancang untuk mengaktifkan semula kumpulan pengganas itu dengan cuba menjadikan Malaysia sebagai pangkalan baharu untuk operasi mereka.

Penangkapan keempat-empat suspek di Serdang, Sentul, Sungai Besi dan Kuala Lumpur pada Khamis menjadikan jumlah warganegara Sri Lanka yang ditahan di sini sejak dua bulan lalu kepada tujuh orang.

Tiga suspek berjaya ditahan pada 15 Mei lalu.

Penangkapan itu dilakukan dalam usaha memburu anggota militan yang dikaitkan dengan kumpulan Abu Sayyaf dan Isil.

Bahagian Counter Terrorism, Cawangan Khas, Bukit Aman masih merahsiakan nama keempat-empat suspek tetapi mengesahkan salah seorang anggotanya pakar dalam membuat bom.

Seorang lagi anggota kanan itu dilaporkan terlibat dalam cubaan membunuh bekas Presiden Sri Lanka, Chandirka Kumaratunga pada 18 Disember 1999.

Kesemua suspek berusia dalam lingkungan 32, 37, 43 dan 45 tahun dan dipercayai terlibat dalam beberapa siri keganasan di Sri Lanka.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata keempat-empat suspek juga dipercayai cuba mengaktifkan semula kumpulan pengganas itu.

"Pakar membuat bom itu turut memegang kad UNHCR. Seorang lagi suspek berjaya ditahan bersama rakannya pada pada Mei lalu. Mereka terlibat dalam serangan yang berjaya digagalkan di Chennai dan Bangalore, India baru-baru ini. Namun seorang lagi suspek didakwa mengumpul dan menyebarkan maklumat kepada rangkaikan LTTE," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Sumber mendedahkan semua suspek berada di dalam negara sejak 2009 dan mereka sangkat dihormati di kalangan anggota LTTE.

"Keempat-empat suspek merupakan ahli LTTE sejak awal 1990-an. Salah seorang daripadanya menyertai kumpulan tersebut sejak remaja.

"Mereka datang ke Malaysia berikutan tindakan keras tentera Sri Lanka memerangi kumpulan tersebut dan merancang serangan dari Malaysia sambil berusaha mengaktifkan gerakan tersebut," kata sumber.

Khalid mengesahkan antara barangan yang dirampas adalah sejumlah besar pasport Malaysia yang dipalsukan bersama-sama dengan setem palsu dari Jabatan Imigresen dan beberapa kedutaan asing.

Difahamkan salah seorang suspek yang diberkas turut terlibat dalam aktiviti pemerdagangan manusia berikutan penemuan sejumlah pasport palsu yang ditemui dari salah satu tempat persembunyian mereka.

"Permit pekerjaan Perancis dan beberapa permit dari negara lain turut dirampas dari salah satu tempat persembunyian mereka.

"Polis percaya suspek sedang bekerjasama dengan sindiket pemalsuan di dalam negara," kata sumber itu.

Menurut Khalid, daripada 14 anggota LTTE yang ditahan pada tahun ini, tujuh daripada adalah pemegang kad UNHCR.

"Kami memandang serius perkara ini kerana ada segelintir pihak cuba menjadikan Malaysia, lokasi transit, persembunyian dan pangkalan baharu untuk operasi mereka.

"Adalah lebih mengejutkan segelintir mereka mengeksploitasi status pelarian UNHCR untuk mengelak daripada ditahan.

"Negara ini bukan tempat selamat untuk pengganas," katanya.


LTTE, pengganas, ditahan

Artikel Sebelum

Artikel Lain