suria

Seri Malaysia Agih 300 Bekas Bubur Lambuk Sehari Sepanjang Ramadan

300 bekas bubur lambuk habis dalam masa 20 minit sahaja.
ALOR SETAR: Hotel Seri Malaysia di sini menyediakan sebanyak 300 bekas bubur lambuk sehari untuk diedarkan kepada orang ramai, iaitu program tahunan hotel itu sejak 20 tahun lepas.


Penolong Pengurus Eksekutif hotel itu, R. Ravindran berkata, pihak hotel akan menyediakan bubur itu secara percuma setiap hari sepanjang Ramadan ini untuk diagihkan kepada orang ramai bermula pukul 5 petang di bawah 'Khemah Hati Nurani'.

Beliau berkata, setiap hari Chef Azhar Hussin dan dua pembantu memasak bubur itu di dalam dua periuk besar menggunakan 20 kilogram beras yang disumbangkan beberapa pihak.

"Dianggarkan sebanyak 580kg beras digunakan sepanjang bulan Ramadan ini. Kerja memasak bubur ini bermula pada pukul 12 tengah hari dan selesai sekitar pukul 4 petang sebelum diagihkan," katanya kepada Bernama di sini.

Beliau berkata, sambutan orang ramai terhadap bubur lambuk yang dihasilkan hotel itu sangat luar biasa kerana ada yang sanggup beratur di sejak 4.30 petang.

"Bubur lambuk itu akan habis diagihkan dalam tempoh 15 hingga 20 minit sahaja," katanya. 


Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain