suria

Tiada Rekahan Baharu Dikesan Di Simpang Empat Jalan Imbi

KUALA LUMPUR: Tiada rekahan baharu dikesan di simpang empat Jalan Imbi pada Khamis susulan kejadian tanah mendap di terowong seliaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) itu pagi Rabu.

Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur Azizan Ismail berkata operasi kini tertumpu kepada proses memperkukuh tanah di sekeliling terowong itu.

"Pagi ini kita dah mula masukkan pasir dan tanam cerucuk besi di sekeliling tanah mendap itu untuk mengukuhkan tebing di kawasan tersebut," katanya kepada ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian, di sini Khamis.

Beliau juga memaklumkan paip air yang pecah dalam kejadian itu juga sudah dibaiki.

Azizan berkata pihaknya turut menemui paip milik Gas Malaysia di bawah terowong itu namun tiada kebocoran gas dikesan.

Mengenai perkhidmatan Monorel, Azizan berkata beliau dimaklumkan jurutera syarikat pengendali perkhidmatan rel tersebut sudah meletakkan sensor bagi mengukur tahap kekukuhan laluan Monorel yang terjejas akibat tanah mendap tersebut.

"Kita masih menunggu laporan kajian mereka dan selepas itu baru kita tahu sama ada laluan Monorel ini boleh digunakan atau tidak," katanya.

Dalam kejadian 9.30 pagi Rabu, sebahagian struktur terowong bawah tanah di simpang empat jalan itu runtuh sedalam lima meter setelah berlaku mendapan tanah dipercayai berpunca daripada paip air bawah tanah yang pecah.

Susulan itu, Timbalan Ketua Pengarah Pelaksanaan Projek dan Penyenggaraan DBKL Datuk Mohd Najib Mohd berkata kawasan terowong akan ditutup selama dua minggu untuk kerja-kerja baik pulih.

Tiada kemalangan jiwa dilapor dalam kejadian itu.

rekahan, Jalan Imbi

Artikel Lain