suria

Tiga Pelatih CCRC Dipercayai Bersembunyi di Ladang Kelapa Sawit

TASEK GELUGOR: Polis percaya tiga pelatih Pusat Rawatan dan Pemulihan (CCRC) Kampung Selamat, di sini yang melarikan diri selepas mencuri sebuah motosikal milik kakitangan pusat itu pada Selasa, bersembunyi di kawasan ladang kelapa sawit tidak jauh dari pusat itu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Abdul Rahman Ibrahim berkata berdasarkan maklumat yang diperoleh tiga pelatih itu bersembunyi di ladang sawit yang terletak bersempadan dengan negeri Kedah, tidak jauh dari CCRC berkenaan.

"Kami juga telah maklumkan maklumat berkenaan kepada Polis Kontijen Kedah bagi meminta bantuan mengesan tiga pelatih terbabit," katanya ketika dihubungi di sini pada Rabu.

Pada Selasa, tiga pelatih lelaki berusia antara 28 dan 30 tahun itu melarikan diri menaiki motosikal jenis Yamaha LC berwarna biru dengan nombor pendaftaran PHF 9860 milik kakitangan pusat itu pada pukul 3.30 petang.

Abdul Rahman meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai tiga pelatih itu supaya menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan dan tidak memberi sebarang bantuan kepada mereka.

Sementara itu Pengarah CCRC Kampung Selamat, Yap Chong Hong ketika dihubungi berkata pihaknya turut melancarkan operasi mengesan tiga pelatih terbabit termasuk pergi ke rumah keluarga mereka.

"Kami juga tengah siasat secara terperinci bagaimana tiga pelatih itu boleh melarikan diri daripada CCRC," katanya.


CCRC

Artikel Berikut

Artikel Lain