suria

MH370: Kementerian Pengangkutan Jumpa JACC Dapatkan Maklumat Sahih

Liow Tiong Lai.

PUTRAJAYA: Kementerian Pengangkutan akan mengadakan pertemuan dengan pihak berkuasa Australia berhubung perkembangan terbaharu pencarian MH370 dalam tempoh terdekat.

Menteri Pengangkutan yang baharu, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, pertemuan itu akan membabitkan Ketua Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC), Angus Houston.

"Pertemuan ini bertujuan untuk mendapatkan maklumat mengenai perkembangan terbaharu pencarian MH370. Kita memerlukan lebih banyak maklumat bagi memberikan maklumat tepat (mengenai MH370) kepada rakyat.

"Ini kerana banyak laporan yang tidak sahih mengenainya. Adalah lebih baik untuk mendapatkan maklumat daripada sumber yang tepat supaya Malaysia menjadi yang pertama mendapatkan maklumat sahih itu," katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis serah terima tugas daripada Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang sebelum ini merupakan pemangku Menteri Pengangkutan di Kementerian Pengangkutan di sini, Isnin.

Laporan media asing pada Jumaat lalu yang mendakwa kononnya laporan Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB) menyatakan semua penumpang dan krew MH370 dipercayai meninggal dunia akibat sesak nafas manakala pesawat dipandu melalui pemanduan automatik sebelum hilang di selatan Lautan Hindi.

Liow berkata, beliau akan menghubungi Menteri Pengangkutan China, Yang Chuangtang pada malam Isnin berhubung perlantikannya dan hal-hal berkaitan.

Beliau bagaimanapun berkata, satu pertemuan akan diadakan bersama dengan Chuangtang di Beijing, China sebaik sahaja perbincangan bersama pihak berkuasa Australia berhubung MH370 dilakukan.

Ditanya adakah beliau bersedia dengan pelbagai persoalan mengenai MH370, Liow berkata: "Saya yakin dan akan terus bekerjasama dengan Hishammuddin dan kementerian-kementerian lain bagi memastikan perkara berkaitan MH370 dapat ditangani dengan baik."

Mengenai laporan ATSB setebal 55 muka surat itu turut menjelaskan beberapa petunjuk luar biasa sepanjang laluan penerbangan pesawat dan tiada campur tangan juruterbang juga dikatakan mengukuhkan dakwaan itu.

Pada Ahad, Liow berkata, laporan media berkenaan hanyalah khabar angin sehingga beliau menerima pengesahan berhubung  perkara itu.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain