suria

Pas Konsert Permata Habis Dalam Masa 30 Minit

Permata Seni Muzik turut diberi penghormatan mengadakan persembahan di Beijing sempena lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ke China, baru-baru ini.
KUALA LUMPUR: Pas masuk khas percuma bagi konsert 'Persahabatan Merentas Generasi' pada 21-22 Jun habis dituntut dalam masa setengah jam bila kaunter Box Office di Istana Budaya dibuka pada pukul 9 pagi, Rabu.


Istana Budaya turut memaklumkan perkara itu melalui laman webnya www.istanabudaya.gov.my.

Konsert oleh Permata Seni Muzik itu diadakan sempena 40 tahun hubungan diplomatik Malaysia dan China.

Ia akan dipentaskan di Istana Budaya pada pukul 8.30 malam Jumaat dan Sabtu serta pukul 3 petang pada Ahad.

Konsert serupa telah dipersembahkan di Beijing ketika lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ke China 28 Mei lalu bagi meraikan sambutan ulang tahun hubungan kedua-dua negara.

Konsert berkenaan dipentaskan di Kuala Lumpur bagi membolehkan generasi muda di Malaysia menyaksikan persembahan itu dan memahami jalinan persahabatan antara Malaysia dan China.

Konsert berkenaan melibatkan 120 anggota Permata Seni iaitu 40 anggota Permata Seni tari, 40 anggota Permata Seni Muzik dan 40 anggota Permata Seni Koir.

Konsert lebih sejam itu melibatkan dramatari muzikal yang menceritakan hubungan Malaysia dan China bermula daripada ketibaan pedagang China di Melaka pada zaman Kesultanan Melayu Melaka.

Ia turut menyentuh permulaan hubungan diplomatik China dan Malaysia secara rasmi yang dipelopori Perdana Menteri Malaysia kedua Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein sehinggalah pengukuhan hubungan dua hala berkenaan oleh anak Allahyarham, Najib. 


Artikel Lain