suria

Laporan Audit: Soal Rugi Tak Timbul Jika RTM Beli Program Tanpa Kontrak Formal - KSU

Rahim Abd Radzi.
KUALA LUMPUR: Tidak timbul soal kerugian apabila Radio Televisyen Malaysia (RTM) menggunakan Surat Setuju Terima (SST) bagi menggantikan kontrak formal dengan pembekal program.

Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKM), Datuk Seri Abd Rahim Mohd Radzi berkata, dokumen rasmi itu memberi jaminan bahawa tawaran yang diberi kepada pembekal program boleh ditamatkan jika syarat SST tidak dipatuhi.

"Tidak timbul isu kerugian kepada kerajaan kerana perkhidmatan yang diberikan tidak melibatkan sebarang pembayaran pendahuluan sehingga pembekal membekalkan mengikut syarat dan tempoh.

"Dalam SST, walaupun tidak ada kontrak formal, ada pelbagai terma yang perlu dipersetujui pembekal program termasuk tempoh kontrak, penyempurnaan tugas dan tanggungjawab pembekalan, bayaran kepada pembekalan dan hak pembayaran," katanya.

Beliau berkata demikian sebagai memberi penjelasan kepada pihak media berhubung teguran dan kelemahan RTM yang didedahkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2013 Siri 2 yang dibentangkan di Parlimen, Isnin.

Hadir sama, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Paul Low Seng Kuan, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal. 
 
Mengulas lanjut, beliau berkata, KKM telah mengambil tindakan untuk mematuhi sepenuhnya Surat Pekeliling Perbendaharaan 5 2007 untuk mengeluarkan kontrak formal berserta SST untuk perolehan bekalan filem RTM.

"Tiada sebarang niat buruk apabila kita melaksanakan perjanjian melalui SST dan ia suatu yang kita merujuk dari segi perundangan," katanya.

Ditanya mengenai tindakan KKM melaksanakan usaha sama dengan pihak Astro selama tiga tahun tanpa sebarang kontrak formal iaitu antara 2012 hingga 2014, beliau mengakui tidak maklum mengenai perkara itu dan akan memeriksanya. 

Laporan Ketua Audit Negara terbaharu ini mendedahkan kementerian itu meluluskan perolehan secara rundingan terus berjumlah RM111.83 juta, melebihi RM21.79 juta daripada peruntukan yang diluluskan Kementerian Kewangan bagi tempoh 2011 hingga 2013.

Laporan itu menyebut Jabatan Penyiaran meluluskan peruntukan berkenaan bagi perolehan 426 program untuk saluran TV Interaktif (TVi).

Namun, 413 program daripadanya yang bernilai melebihi RM50,000 setiap satu tidak mempunyai kontrak formal.
Rahim Abd Radzi, RTM

Artikel Lain