suria

Pengurus Syarikat Pembersihan Didakwa Bunuh Bayi 6 Bulan

Weng Yew diiringi anggota polis di Mahkamah Majistret Shah Alam kerana didakwa membunuh bayi berusia enam bulan yang ditemui di gaung berdekatan Genting Highlands.
SHAH ALAM: Seorang pengurus syarikat perkhidmatan pembersihan dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini atas tuduhan membunuh seorang bayi enam bulan yang mayatnya ditemui kembung dan berulat di sebuah gaung berdekatan Genting Highlands awal bulan ini.


Wong Weng Yew, 41, didakwa membunuh bayi lelaki bernama Esmen Zeus Yves di rumahnya (tertuduh) di No: 12, Cannal Garden, Jalan Anggerik Vanilla 31/98S, Seksyen 31, Kota Kemuning di sini antara 28 Mei dan 31 Mei lepas.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Wong yang hadir ke mahkamah memakai t-shirt berwarna oren dan berseluar pendek paras lutut mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa mahkamah.

Dalam prosiding pada Selasa, tiada pengakuan direkodkan daripada lelaki itu yang turut menguruskan perkhidmatan pekerja asing.

Majistret Norshakinah Ahmad Kamarudin menetapkan 14 Julai ini untuk sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan bedah siasat.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Rohaida Che Hamid, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, isteri Wong yang sebelum ini turut ditahan bagi membantu siasatan, dibebaskan dengan bon mahkamah berjumlah RM50,000 untuk dijadikan sebagai saksi pendakwaan pada perbicaraan kelak.

Media sebelum ini melaporkan sepasang suami isteri ditahan bagi membantu siasatan berhubung aduan seorang pembantu rumah warga Indonesia yang kehilangan bayi pada hujung bulan lepas.

Penahanan suspek terbabit membawa kepada penemuan mayat itu 4 Jun lepas. 


Artikel Sebelum

Artikel Lain