suria

Liow Yakin Ada Rombakan Kabinet

KUALA LUMPUR: Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai yakin akan berlaku rombakan kabinet namun menyerahkan perkara tersebut kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk memutuskannya.

"Saya yakin itu (rombakan kabinet) merupakan hasrat Perdana Menteri.

"Rombakan kabinet ini penting untuk parti komponen menyertai semula kabinet bagi membantu Perdana Menteri melaksanakan transformasi beliau," katanya kepada Bernama, di lobi Parlimen di sini Khamis.

Beliau ditanya mengenai laporan media yang menyatakan Najib akan membuat rombakan kabinet bagi melibatkan dua parti komponen utama Barisan Nasional (BN) iaitu MCA dan Gerakan.

Najib sebelum ini dilapor berkata akan melantik Datuk Mah Siew Keong sebagai menteri jika  Presiden Gerakan itu menang dalam pilihan raya kecil Parlimen Teluk Intan pada 31 Mei lalu. Mah menang dengan majoriti 238 undi ke atas calon DAP Dyana Sofya Mohd Daud.

MCA pula yang sebelum ini memutuskan untuk tidak menerima sebarang jawatan peringkat pusat dan negeri susulan prestasi buruk semasa pilihan raya umum ke-13 tahun lepas, telah menarik balik keputusan itu dan bulan lepas Liow dilapor berkata perkara berkenaan sudah disampaikan kepada Perdana Menteri.

Mengulas lanjut, Liow bagaimanapun meminta semua pihak tidak membuat spekulasi kerana keputusan akhir di tangan Perdana Menteri.

Liow yang juga Anggota Parlimen Bentong antara nama yang disebut akan menyertai barisan baharu kabinet.

Laporan media juga menyatakan Najib dijangka mengumumkan kabinet baharunya seawal Jumaat ini dan paling lewat selepas Aidilfitri yang akan disambut pada akhir Julai ini.

Dalam pada itu, Najib yang diminta mengulas mengenai desas-desus rombakan kabinet tersebut oleh wartawan Malaysia yang membuat liputan lawatan beliau di Turkmenistan semalam, berkata beliau tidak tahu mengenainya. 

MCA, Kabinet

Artikel Berikut

Isu Tol Lebuh Raya Dikaji

Artikel Lain