suria

Isu Tol Lebuh Raya Dikaji

KUALA LUMPUR: Kementerian Kerja Raya bersama Unit Kerjasama Awam Swasta Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Kewangan dan Jabatan Peguam Negara sedang membuat kajian menyeluruh berhubung isu berkaitan konsesi tol lebuh raya sedia ada di negara ini.

Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata kajian itu akan memperincikan beberapa cadangan yang bersesuaian termasuk penstrukturan semula kadar tol dengan mengambil kira kos operasi, kos penyelenggaraan, jumlah trafik, keuntungan atau kerugian syarikat konsesi terbabit.

"Kajian turut melibatkan cadangan pindaan terhadap terma-terma perjanjian konsesi sedia ada, tetapi ia memerlukan persetujuan kedua-dua pihak iaitu kerajaan dan pihak konsesi," katanya pada sidang Dewan Rakyat pada Khamis.

Beliau menjawab soalan Datuk Fauzi Zahari (BN-Setiawangsa) berhubung resolusi yang dipersetujui kementerian dengan syarikat konsesi tol berikutan laporan kerugian yang diterima oleh syarikat berkenaan yang beroperasi di Lembah Klang.

Sehubungan itu, beliau berkata beberapa rundingan dengan syarikat konsesi lebuh raya berkaitan telah diadakan bagi mencari kaedah penyelesaian jangka pendek, sederhana dan jangka panjang berkaitan isu tol.

Menurut Rosnah prinsip utama rundingan ialah berasaskan situasi 'menang-menang' kepada semua pihak iaitu kerajaan, rakyat, syarikat konsesi, pelabur dan pemberi pinjaman.

"Hasil rundingan dengan syarikat konsesi ini dijangka akan dibentangkan dalam tempoh masa terdekat untuk pertimbangan dan kelulusan Jemaah Menteri," katanya.

Sementara itu, menjawab soalan tambahan Fauzi berhubung sama ada kerajaan akan memperuntukkan sebahagian daripada belanjawan negara bagi mengambil alih pengurusan lebuh raya di negara ini, Rosnah berkata masih belum ada cadangan.

Tol, Lebuh raya

Artikel Sebelum

Artikel Lain