suria

SOP Diwujud Pastikan Kualiti Notebook 1Malaysia - Kamalanathan

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah menggariskan beberapa prosedur operasi standard (SOP) bagi memastikan jaminan kualiti Netbook 1Malaysia yang diedarkan kepada golongan sasaran.

Timbalan Menteri Pendidikan P.Kamalanathan berkata SOP yang diwujudkan itu merangkumi perkara-perkara yang perlu dipatuhi termasuk aspek penyelenggaraan sebelum dan selepas pengagihan Netbook 1Malaysia dibuat.

"Antara langkah yang dilaksanakan adalah semua netbook yang dibekalkan mempunyai label Sirim, melaksanakan pemeriksaan kualiti dengan mengambil lima sampel netbook bagi setiap penghantaran yang diterima serta memastikan netbook yang dibekalkan mematuhi spesifikasi yang ditetapkan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Mohamad Imran Abdul Hamid (PKR-Lumut) mengenai kualiti Netbook 1Malysia yang didakwa kerap rosak serta tidak boleh dibaiki pada persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.

Kamalanathan berkata pemeriksaan kualiti yang dijalankan turut melibatkan pematuhan spesifikasi, pengoperasian perkakasan dan perisian.

"Netbook yang dibekalkan diberi jaminan selama setahun dan jika terdapat kerosakan, penerima hanya perlu menghantar kepada pusat servis yang telah dilantik pembekal dan pembaikan adalah percuma," jelasnya.

Mengenai punca kerosakan netbook itu pula, Kamalanathan berkata ia boleh disebabkan oleh cara penggunaan dan kerosakan komponen komputer riba itu sendiri.

"Antara langkah yang diambil untuk menangani masalah kerosakan netbook adalah memastikan pembekal mempunyai perkakas ganti yang mencukupi dan membuat penukaran sekiranya kerosakan disebabkan kecacatan dari kilang yang dikesan semasa pengagihan.

"Kami juga memberikan panduan kepada penerima berkenaan penggunaan netbook secara bijak seperti memastikan antivirus semasa dikemas kini dan memadam fail berkenaan perisian operasi," tambahnya.
notebook 1malaysia, SKMM

Artikel Berikut

Artikel Lain