suria

Saluran Paip Petronas Di Lawas Terbakar

PETALING JAYA: Cahaya terang yang kelihatan di sekitar perairan Sabah sejak awal pagi Selasa sebenarnya berpunca daripada kebakaran yang berlaku di saluran paip Petronas di daerah Lawas, Sarawak, kira-kira 135 kilometer dari Terminal Minyak dan Gas Sabah di Kimanis.

Mengesahkan kejadian tersebut, Petronas dalam kenyataannya berkata tiada sebarang kemalangan jiwa berlaku dalam kebakaran tersebut.

Penjelasan itu juga sekaligus menjawab pelbagai teka-teki dan andaian yang diperkatakan di laman sosial sejak awal pagi tadi kononnya kejadian langit merah itu berpunca daripada fenomena alam.

Menjelas lanjut, Petronas berkata tiada sebarang penempatan komuniti di sepanjang saluran paip yang terbakar itu kerana yang paling dekat terletak kira-kira sembilan kilometer daripada tempat kejadian.

Kebakaran itu yang bermula pukul 2 pagi telah berjaya dipadamkan dan siasatan sedang dijalankan untuk mencari punca kejadian, kata Petronas.
Petronas, Lawas

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain