suria

Penyertaan MCA Dalam Kabinet Penting - Michael Chong

Michael Chong
GEORGE TOWN: Penyertaan semula MCA ke dalam Kabinet adalah penting kerana ini akan membantu Jabatan Aduan dan Perkhidmatan Awam parti itu untuk melaksanakan tugas dengan lebih baik dalam menyelesaikan kes, kata pengerusi jabatan berkenaan, Datuk Seri Michael Chong. 

Beliau berharap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan melantik wakil MCA ke dalam Kabinet memandangkan langkah itu akan meringankan tugas Jabatan Aduan dan Perkhidmatan Awam untuk terus membantu mereka yang memerlukan.

"Terdapat keperluan bagi MCA mempunyai seorang menteri atau timbalan menteri dalam Kabinet untuk melaksanakan khidmat itu. Persatuan Cina, ahli perniagaan juga datang kepada kami dan berpendapat agak sukar tanpa MCA (dalam Kabinet)," katanya kepada pemberita selepas satu ceramah tentang jabatan berkenaan di sini Ahad.

Chong berkata 1,973 perwakilan pusat MCA yang mengundi dengan memihak kepada penyertaan semula MCA ke dalam Kabinet menunjukkan bahawa keputusan sebelum ini untuk tidak menerima sebarang jawatan Kabinet ekoran prestasi buruk pada pilihan raya umum ke-13 adalah salah.

Beliau berkata selain meningkatkan semula semangat parti, penyertaan semula ke dalam Kabinet akan memastikan Jabatan Aduan dan Perkhidmatan Awam dapat membantu masyarakat dan terus memberi perkhidmatan yang baik.

Chong berkata penyertaan wakil MCA ke dalam Kabinet akan memudahkan Jabatan Aduan dan Perkhidmatan Awam parti itu membantu dan menyelesaikan kes di luar negara melibatkan Kementerian Dalam Negeri serta Jabatan Imigresen.
MCA, Kabinet, Michael Chong

Artikel Lain