suria

Penduduk Sarawak Sokong Pendirian Tegas Ketua Menteri

Adenan Satem

KUCHING: Penduduk Sarawak menyokong penuh pendirian tegas Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem yang tidak membenarkan pentaksub agama atau golongan pelampau ke dalam negeri ini, kata Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Komunikasi Sarawak Datuk Seri Michael Manyin Jawong. 

"Bagi saya, penduduk Sarawak menyambut baik keputusan itu sebab pembangkang turut mengalu-alukannya. Kita tidak mahu pentaksub agama dan golongan pelampau merosakkan persekitaran aman damai yang kita nikmati sejak beratus-ratus tahun lamanya.

"Kita hidup dengan aman damai di Sarawak dan kenapa kita mesti minta orang lain datang dan merosakkan persekitaran yang tenang ini," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tiga Tahun Sekali Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh (DBNA) di ibu pejabat parti pada Sabtu.

Menyentuh tentang 100 hari Adenan memegang jawatan, Manyin yang juga ketua penasihat DBNA, berkata beliau mendapati Adenan sememangnya mempunyai kebijaksanaan untuk menerajui negeri ini.

"Memanglah Tun Abdul Taib Mahmud sebagai ketua menteri selama 33 tahun mempunyai kebijaksaan dan pengalaman namun begitu Adenan menjalankan tugasnya dengan baik sejak 100 hari lepas selaku ketua menteri kita," katanya.

Artikel Lain