suria

Kerajaan Pergiat Tambah Kuota Haji Tahun Ini - Jamil Khir

YAN: Kerajaan akan mengadakan pertemuan dan menghantar surat rasmi kepada kerajaan Arab Saudi bagi mendapatkan tambahan kuota untuk musim haji tahun ini bagi membolehkan lebih ramai menunaikan ibadah haji.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata usaha itu perlu dilakukan berterusan kerana sebelum ini, kerajaan Arab Saudi pernah memberi kuota tambahan, seminggu sebelum jemaah haji bertolak ke tanah suci dan ketika hampir penghujung jemaah sepatutnya bertolak.

Katanya kerajaan akan sentiasa mempergiat usaha seperti itu agar pihak Arab Saudi dapat mempertimbangkan permintaan untuk mendapatkan kuota tambahan.

"Kuota haji ini tak ada tarikh yang ditetapkan. Jumlah jemaah yang masuk untuk buat haji tak tepat (tidak menentu). Kalau ada kosong pastinya Arab Saudi akan beri kepada kita," katanya selepas menyampaikan sumbangan kepada 24 keluarga yang terlibat dalam banjir Rabu lepas di Sungai Ibor pada Sabtu.

Beliau berkata terdapat senarai jemaah menunggu membolehkan mereka dipilih untuk mengerjakan haji sekiranya kuota tambahan diluluskan walaupun pada saat-saat akhir.

Jamil Khir berkata jemaah yang berumur 75 tahun ke atas akan diberi keutamaan oleh Tabung Haji dalam soal pemilihan jemaah haji.

Beliau berkata sehingga Mei lepas kira-kira 1.5 juta orang mendaftar untuk mengerjakan haji dengan sebahagian besar terdiri daripada golongan muda dan kanak-kanak.

Katanya senarai jemaah menunggu bertambah dengan jumlah kuota yang terbatas menyebabkan ia mengambil masa hampir 50 tahun sebelum tiba giliran  masing-masing.

Sejak 2009 kerajaan Arab Saudi memperuntukkan 27,900 tempat setahun bagi jemaah negara ini untuk menunaikan haji dan telah dikurangkan 20 peratus sejak tahun lepas berikutan kerja-kerja pembangunan di Masjidil Haram.

Pengurangan itu menjadikan jumlah terkini jemaah Malaysia sebanyak 22,320 orang.

Jamil Khir, Tabung haji

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain