suria

Mat Rempit 'Superman' Rempuh Polis

SETIU: Seorang anggota polis trafik berpangkat Lans Koperal cedera selepas dirempuh sebuah motosikal ketika menjalankan tugas di Kilometer 64, Jalan Pantai Kuala Terengganu-Kampung Raja berhampiran Kampung Nyatoh, di sini petang Khamis.

Ketua Polis Daerah Setiu DSP Ab Rahman Raja Mohamad berkata akibat rempuhan itu, mangsa Mohamad Radhi Somiran, 26, patah bahu kanan dan patah pergelangan tangan kiri.

Katanya kejadian kira-kira pukul 3.15 petang berlaku ketika mangsa bersama dua lagi anggota sedang melakukan tugas penguatkuasaan di lokasi terbabit sebelum dirempuh ketika cuba menahan tiga lelaki bermotosikal yang menunggang secara merbahaya.

"Ketika bertugas mereka melihat tiga buah motorsikal yang datang dari arah Penarik menghala ke Kampung Raja menunggang dalam keadaan meniarap dengan kedua-dua kaki ke belakang.

Mangsa cuba menahan motosikal berkenaan namun secara tiba-tiba salah sebuah motorsikal jenis Yamaha RXZ bernombor pendaftaran CY 9960 telah melanggar mangsa dan terbabas," katanya pada Jumaat.

Menurutnya penunggang motorsikal terbabit yang berusia 21 tahun dan bekerja di Kuantan, Pahang turut mengalami kecederaan ringan manakala dua buah lagi motorsikal melarikan diri dan dua lagi anggota tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ab Rahman berkata mangsa serta penunggang motorsikal tersebut dibawa ke Hospital Setiu untuk rawatan lanjut dan kes disiasat dibawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dengan cuai dan merbahaya sehingga menyebabkan cedera parah.


Polis, Kuantan, Setiu

Artikel Lain