suria

Fokus 4 Elemen Perkukuh Esscom - Hishammuddin

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan memberi fokus kepada empat elemen yang dikenal pasti sebagai polisi, aset,latihan dan risikan untuk memperkukuhkan kawalan keselamatan di Kawasan Keselamatan Khas Timur Sabah (Esscom).

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, cadangan itu akan dikemuka dan diperjelaskan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan datang.

"Daripada mesyuarat hari ini, penting untuk kita kenal pasti sebab untuk memastikan keselamatan di rantau ini, aset-aset yang perlu digerakkan, latihan yang juga melibatkan polis dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia serta risikan yang turut melibatkan perisik antarabangsa.

"Dalam konteks ini, kalau cadangan ini dapat dikemaskini, saya harap ia akan menjadi satu lagi legasi yang dapat menjamin keselamatan rakyat, maruah, kedaulatan dan kedudukan Sabah," katanya dalam sidang media selepas Mesyuarat Pelaksanaan Konsep 'Sea Basing' di kawasan Esscom di sini, Khamis.

Turut hadir, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin dan Ketua Pengarah Esscom, Datuk Mohamad Mantek.

Sementara itu, Hishammuddin berkata, pihakya sedang mempertimbang pembelian radar baharu bagi menggantikan radar sedia ada yang sudah ketinggalan zaman.

"Kami sedang memperhatikan sekarang...sebagai mana anda sedia maklum pelantar minyak Petronas di pantai barat mempunyai radar mereka tersendiri. Kita mempunyai antara satu dan enam radar yang telah ketinggalan zaman.

"Namun adalah penting untuk mengenal pasti di mana ancaman berada, di mana titik buta untuk radar. Ini merupakan aspek kecil pada aset, yang sedang kami pertimbangkan," katanya.

Ditanya jumlah pelantar minyak yang akan digunakan, Hishammuddin berkata pihaknya sedang mempertimbangkan dua pelantar minyak menjelang akhir tahun ini.

Petronas sebelum ini telah memberi komitmen bagi menyediakan pelantar berhubung cadangan pelaksanaan sistem 'Sea Basing' (pangkalan laut).

Bagaimanapun, menurutnya terdapat dua buah lagi pelantar gerudi yang boleh digunakan segera yang terletak di Lumut, Perak.

"Namun, ia dimiliki pihak ketiga lain yang akan kami rundingkan," katanya.


Esscom, MKN, Menteri Pertahanan

Artikel Lain