suria

Polis Masih Siasat Marcy Dayawan - Hamza

Dayawan (kiri) bersama Huayuan selepas diselamatkan polis Malaysia.

KOTA KINABALU: Polis Malaysia masih menahan wanita warganegara Filipina yang diselamatkan daripada kumpulan penculik di Pulau Jolo, Selatan Filipina pada Jumaat lepas, bagi membantu sisatan kes culik dua wanita asing dari Singamata Adventures Reef and Resort di Semporna pada 2 April lalu.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata Marcy Dayawan atau Mimi,39, masih ditahan di Bukit Aman juga ditahan untuk membantu siasatan mengenai perkara berkaitan Akta Pecegahan Jenayah (POCA), yang diwartakan April lalu.

"Selepas siasatan selesai, kita akan serahkan wanita ini kepada Kedutaan Filipina untuk dihantar pulang ke negara asal," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kempen Tolak Rasuah Polis DiRaja Malaysia (PDRM) peringkat Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah di sini, Selasa.

Marcy dan seorang wanita warga China, Gao Hua Yuan, 28, diculik dari resort itu kira-kira 10.30 malam pada 2 April lalu oleh sekumpulan lelaki bersenjata sebelum kedua-duanya berjaya diselamatkan hasil kerjasama pasukan keselamatan Malaysia dan Filipina.

Mengenai perkembangan kes lelaki warga China, Yang Zai Lin, 34, pengurus pusat ternakan ikan dalam sangkar yang diculik dari Pulau Baik, Lahad Datu pada 6 Mei lalu, Hamza berkata, Polis Sabah dan Bukit Aman sedang berusaha menyelamatkannya.

"Polis Malaysia sudah mengenal pasti kumpulan penculik yang melakukan kegiatan itu dan yakin kumpulan yang melakukan penculikan di Singamata, Semporna ada kaitan dengan kumpulan penculik di Pulau Baik, Lahad Datu," katanya.

Mengenai kes tembak anggota tentera di Lahad Datu sehingga menyebabkan seorang anggota tentera lain terbunuh pada 28 Mei lalu, Hamza menganggap kes itu selesai berikutan penahanan 15 anggota tentera sehingga pagi tadi.


Artikel Lain