suria

Liga Muslim P.Pinang Tawar Diri Selesai Kemelut Milikan Restoran Nasi Kandar Line Clear

Gerai Nasi Kandar Line Clear.
GEORGE TOWN: Liga Muslim Pulau Pinang menawarkan diri untuk menasihati pengendali operasi semasa restoran Nasi Kandar Line Clear dan tiga saudaranya yang bertelagah mengenai milikan restoran tersebut di Penang Road di sini.

Presidennya, Datuk Najmudeen Kader berkata, beliau telah bertemu dengan Abdul Hamid Seeni Pakeer, 64, dan bercakap dengan tiga lagi saudara pengusaha restoran itu, T. Abdul Latiff, Sahubarali China Mohd Hanibah dan Pathumah Iskandar untuk menyelesaikan pertikaian tersebut.

"Kedua-dua pihak bersetuju untuk berbincang dan menyelesaikan masalah itu.

"Liga ini memutuskan untuk memberikan nasihat dan bimbingan dengan cara sedemikian kerana masalah ini melibatkan komuniti Islam," katanya kepada pemberita selepas bertemu Abdul Hamid di restoran tersebut.

Najmudeen mendakwa beliau turut berhubung dengan Abdul Latiff, Sahubarali dan Pathumah menerusi telefon pada Isnin.

"Kedua-dua pihak bersetuju untuk berbincang bagi mencari jalan penyelesaian terbaik," katanya.

Najmudeen berkata, beliau berbual dengan Abdul Hamid mengenai isu membabitkan perniagaan, lesen dan urusan keluarga.

Beliau turut berharap masalah tersebut boleh diselesaikan tanpa membawa perkara itu ke mahkamah.

Katanya, liga ini akan cuba mempertemukan kedua-dua pihak untuk berbincang dalam beberapa hari lagi dan pada masa sama menjemput Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP).

Terdahulu, pertikaian di kalangan saudara itu tercetus disebabkan giliran perniagaan di restoran berkenaan menemui jalan buntu.

Pengendali operasi semasa restoran itu didakwa tidak mahu mengembalikan giliran kepada pihak sepatutnya.

Kemelut itu memaksa MPPP untuk memberikan tempoh 14 hari kepada mereka untuk berbincang dan sekiranya gagal, 
pihak berkuasa tempatan akan memberikan notis pengosongan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain