suria

Kastam Rampas Syabu RM2.93 Juta Di KLIA

Chik Omar menunjukkan bungkusan kopi yang berisi dadah pada sidang media kejayaan Kastam KLIA menggagalkan dua cubaan menyeludup dadah bernilai RM2.93 juta di ibu pejabat Kastam KLIA, Selasa.
SEPANG: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) berjaya mematahkan dua cubaan menyeludup dadah jenis syabu seberat 15.44 kilogram (kg) bernilai RM2.93 juta.

Pengarah Kastam KLIA, Datuk Chik Omar Chik Lim berkata, cubaan menyeludup itu dilakukan dua lelaki warga Uzbekistan dan Nigeria melalui balai ketibaan penumpang antarabangsa KLIA pada Jumaat dan Sabtu lalu.

Kes pertama katanya, membabitkan lelaki Uzbekistan berusia 50 tahun yang ditahan pada pukul 11.45 pagi, Jumaat, selepas pemeriksaan bagasinya menemukan tujuh bungkusan mengandungi dadah seberat 14.4kg bernilai RM2.73 juta.

"Pemeriksaan terhadap bagasi suspek mendapati terdapat tujuh bungkusan serbuk kopi pelbagai jenama, selepas dibuka semua bungkusan didapati mengandungi serbuk putih," katanya kepada pemberita di sini, Selasa.

Chik Omar berkata, kes kedua pada hari berikutnya membabitkan rampasan dadah jenis sama seberat 1.042kg bernilai RM197,980 daripada seorang warga Nigeria yang tiba dari Doha, Qatar, pada pukul 4.20 petang.

Beliau berkata, dadah itu ditemui disorok dalam bahagian khas bagasi milik suspek berusia 36 tahun itu.

Beliau tidak menolak kemungkinan kedua-dua suspek itu, yang masuk ke negara ini sebagai pelancong, merupakan keldai dadah yang diupah oleh sindiket dadah antarabangsa.

"Kedua-dua kes itu disiasat Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati mandatori," katanya.


syabu, Datuk Chik Omar Chik Lim, KLIA

Artikel Lain