suria

Hubungan Malaysia-China Akan Terus Mekar - Najib

Najib (kiri) memperkatakan sesuatu kepada rakan sejawatnya, Li Keqiang selepas menandatangani perjanjian sempena sambutan ulangtahun ke-40 hubungan diplomatik kedua negara di Beijing, Sabtu.
BEIJING: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yakin hubungan akrab Malaysia-China yang terjalin sejak 40 tahun lepas akan terus berkembang malah bertambah rapat di masa depan.

Bercakap pada ulang tahun ke-40 hubungan diplomatik antara kedua-dua negara di sini, Sabtu, beliau berkata hubungan baik adalah mudah di waktu senang; namun persahabatan sebenar terjalin semasa susah.

Memetik peristiwa bersejarah 40 tahun lepas, Najib berkata ayahanda beliau yang juga perdana menteri kedua Tun Abdul Razak Hussein memulakan apa yang disebut sebagai 'satu perjalanan muhibah, untuk menyemai permulaan kepada sikap saling memahami dan mempercayai."

"Perjalanan itu membawa beliau ke sini, ke Beijing, dan ke dewan ini. Di sinilah beliau menandatangani perjanjian dengan Perdana Menteri Zhou Enlai, secara rasmi mewujudkan hubungan diplomatik antara negara kita. Di sinilah kita memulakan babak baharu dalam hubungan kita.

"...dan di sini hari ini saya merasakan bukan sahaja tanggungjawab kerajaan, tetapi tanggungjawab kepada ayahanda saya - untuk meneruskan legasi beliau dan memastikan hubungan Malaysia-China semakin dipereratkan," katanya.

Turut hadir pada majlis iatu ialah Perdana Menteri China Li Keqiang dan lebih 300 tetamu.

Mengulas lanjut tentang peristiwa yang membawa kepada pewujudan hubungan diplomatik bersejarah itu, Najib berkata semasa masih merupakan pelajar universiti pada 1974, beliau bertanyakan ayahandanya sebab beliau (Tun Abdul Razak) mengambil langkah yang begitu berani untuk mewujudkan hubungan diplomatik itu.

Jawapan yang diterimanya adalah kerana bapanya menganggap Perdana Menteri Zhou Enlai seorang tokoh yang boleh beliau percayai.

"Pada masa berlaku pergolakan dan ketidaktentuan, Malaysia dan China meletakkan asas kepercayaan bagi sebuah hubungan yang terus terjalin sehingga hari ini," kata perdana menteri.

Sehubungan itu, Najib berkata bukanlah menjadi kejutan apabila Malaysia menjadi negara pertama di Asia Tenggara yang mewujudkan hubungan dengan China, meskipun beberapa sekutu menasihati Tun Abdul Razak supaya tidak meneruskannya.

Artikel Lain