suria

Wanita Warga Thailand Keldai Dadah Ditahan - Imigresen

Gambar Hiasan.
BUTTERWORTH: Jabatan Imigresen menahan seorang keldai dadah warga Thailand yang cuba menyeludup dadah, dipercayai ganja dalam operasi bersepadu di sini, Jumaat.

Jurucakap Imigresen berkata, suspek wanita berusia 47 tahun itu ditahan kira-kira 5.30 petang ketika berada di dalam bas ekspres yang sedang dalam perjalanan ke Kuala Lumpur dari Changlun, Kedah.

Katanya, suspek itu gagal mengemukakan dokumen perjalanan, manakala bagasi yang dibawanya juga mencurigakan.

"Pemeriksaan pegawai imigresen mendapati kedua-dua bagasi milik suspek dikunci dan dipenuhi ketulan mampat dadah dipercayai ganja yang dibalut dengan beg plastik hitam," katanya kepada pemberita selepas operasi itu di Tol Sungai Dua di sini, Jumaat.

Suspek kemudiannya diserahkan kepada polis untuk siasatan lanjut dan dipercayai kini dalam tahanan reman.

Difahamkan polis akan membuat sidang akhbar berkenaan kes tersebut dalam masa terdekat.

Sementara itu, dalam operasi berkenaan yang diadakan dari 4 petang hingga 1 pagi, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang memeriksa 3,000 kenderaan dan daripada jumlah itu, 307 kenderaan didapati melakukan pelbagai kesalahan.

Antara kesalahan itu termasuk nombor plat tidak mengikut spesifikasi, lesen pejalanan tamat tempoh dan cermin gelap.

Pengarah JPJ negeri, Datuk Hassan Yaacob berkata, operasi itu melibatkan 14 agensi penguatkuasa termasuk 187 anggota JPJ dibantu pegawai trafik Polis Diraja Malaysia, Agensi Anti Dadah Kebangsaan, polis bahagian narkotik, anggota PLUS Malaysia, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat dan Puspakom.

Katanya, operasi itu bertujuan sebagai peringatan kepada pengguna jalan raya supaya mematuhi undang-undang. 


Artikel Lain