suria

Pemuda Sindrom Down Rentung Dalam Kebakaran

MARANG: Seorang pemuda Sindrom Down ditemui rentung dalam kebakaran yang memusnahkan rumah yang didiami bersama ibu bapanya di Kampung Kijing di sini pagi Rabu.

Dalam kejadian 6 pagi itu, Hisham Alias, 28, ditemui rentung seluruh badan.

Bapanya Alias Daud, 70, yang ditemui pemberita di lokasi kejadian, berkata dia sedang berehat di ruang tamu setelah selesai menunaikan solat Subuh, apabila mendengar beberapa letupan kecil.

Dia kemudian mencari punca bunyi itu sebelum melihat api mula marak membakar bilik bersebelahan bilik tidur Hisham.

"Pak cik dengar suara anak menjerit minta tolong tapi pak cik tidak dapat menyelamatkannya kerana api marak dengan cepat dan menjulang tinggi," katanya sayu.

Menurut warga emas itu dia kemudian bergegas keluar dari rumah dan meminta tolong jiran untuk menyelamatkan anaknya namun masing-masing tidak dapat melakukan apa-apa kerana keadaan api yang marak dengan pantas.

Alias berkata ketika kejadian isterinya berada di surau berhampiran rumah mereka.

Sementara itu kakak mangsa, Suzita, 38, berkata arwah adiknya menyambut ulang tahun ke-28 semalam dan mereka merancang meraikannya Jumaat ini.

"Sekarang sambutan hari lahir yang dirancang jadi majlis tahlil untuk arwah," katanya menambah adiknya itu rapat dengan penduduk kampung.

Dalam pada itu Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Marang Mohd Zamri Awang Long berkata dua jentera dengan 13 anggota dan pegawai digegaskan ke lokasi sebaik menerima laporan.

"Ketika tiba di lokasi, api bukan sahaja marak membakar rumah itu tetapi juga sudah merebak ke rumah bersebelahan. Kita mengambil masa 45 minit untuk mengawal kebakaran," katanya.

Menurutnya sebaik api dipadamkan, pihaknya menemui mayat seorang lelaki yang rentung di dalam sisa kebakaran yang memusnahkan keseluruhan rumah papan tersebut.

Kejadian turut memusnahkan 80 peratus rumah bersebelahan, katanya menambah punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.


kebakaran, sindrom down, Marang

Artikel Lain