suria

SUV Rempuh Anggota Polis Dibakar

Abdul Rahman melihat kenderaan yang merempuh sehingga mati seorang anggota polis di Alor Pongsu pada Isnin.

KEPALA BATAS: Toyota Wish yang ditemui terbakar di Ara Kuda, Tasek Gelugor dekat sini petang semalam dipercayai dibakar bagi mengelak polis mengesan bukti yang terdapat pada kenderaan itu, kata polis.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Abdul Rahman Ibrahim berkata siasatan awal mendapati kereta itu adalah sebuah daripada kenderaan yang terlibat dalam kejadian seorang anggota polis maut dirempuh di Batu 10 menghala Alor Pongsu dekat Parit Buntar, Perak pada Isnin.

"Berdasarkan pemeriksaan pasukan forensik polis, kereta itu memang kenderaan yang terlibat dalam kejadian itu dan ia terbakar lebih 60 peratus terutama di bahagian dalam kenderaan pelbagai guna itu.

"Mereka dipercayai meninggalkan kereta itu di situ dan membakarnya sebelum melarikan diri dengan kenderaan lain," katanya pada sidang akhbar di sini Selasa.

Beliau berkata orang awam yang lalu di kawasan itu hanya menyedari kenderaan terbabit berada di situ selepas ternampak kepulan asap.

Dalam kejadian itu kira-kira pukul 1 tengah hari semalam, L/Kpl Azuan Abdullah, 25, dari Unit Rondaan Bermotosikal (URB) maut manakala rakan setugasnya cedera dirempuh sebuah kereta ketika mengejar kenderaan penjenayah yang menyamun sebuah van rokok di Alor Pongsu, Bagan Serai, Perak.

Abdul Rahman berkata hasil semakan terhadap nombor casis kereta itu mendapati ia dilapor hilang di Simpang Pulai, Perak tahun lepas.

"Kami telah bawa balik kereta itu ke Ibu Pejabat Polis Daerah SPU, di sini untuk siasatan lanjut termasuk mengesan cap jari dan bukti bagi membantu siasatan.

"Polis juga cuba mengesan kumpulan penyamun berkenaan di sekitar kawasan kereta itu dilapor ditemui dan setakat ini tiada petunjuk mereka berada di situ. Kami percaya mereka telah melarikan diri ke negeri lain," katanya.

Beliau berkata kereta itu akan diserah kepada polis kontijen Perak dalam tempoh terdekat bagi membantu siasatan kes itu.

Polis, Wish, Toyota

Artikel Lain