suria

Kes L/Kpl Azuan Diklasifikasi Kes Bunuh

TELUK INTAN: Polis mengklasifikasikan kes Lans Koperal Mohd Azuan Abdullah yang maut selepas dirempuh oleh kereta dinaiki penjenayah semalam sebagai kes bunuh.

Ketua Polis Perak Datuk Acryl Sani Abdullah Sani berkata klasifikasi itu berdasarkan perbuatan penjenayah yang didapati sengaja merempuh dari arah belakang motosikal anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) berkenaan.

Berdasarkan siasatan awal, polis percaya penjenayah memang sengaja mahu menyebabkan kematian anggota terbabit, katanya dalam sidang media selepas meninjau perjalanan pengundian awal di Dewan Serba guna Ibu Pejabat Polis Daerah Hilir Perak, di sini Selasa.

Dalam insiden 1.15 tengah hari itu, Mohd Azuan, 25, anggota URB Ibu Pejabat Polis Daerah Kerian, maut di tempat kejadian manakala rakan setugasnya cedera parah selepas motosikal yang ditunggang mereka dirempuh kereta penjenayah.

Kejadian berlaku di Batu 10 menghala Alor Pongsu dekat Parit Buntar, ketika kedua-duanya dilapor mengejar sebuah kereta yang dinaiki suspek dalam kes samun van rokok sebelum itu. 
Menurut Acryl Sani polis memperhebat gerakan memburu penjenayah terbabit.

Artikel Lain