suria

Pekerja Kontrak Didenda RM3,000 Miliki Buku Yang Diharamkan

Tertuduh, Kamarulzaman Karim dihukum penjara selama dua bulan dan denda RM4,000 selepas disabit kesalahan melanggar fatwa kerana menghina pihak berkuasa agama dengan cara memiliki dan menyimpan bahan terbitan agama yang bertentangan dengan hukum syarak di Kuala Lumpur, Selasa. -fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Seorang pekerja kontrak didenda RM3,000 atau penjara tiga bulan oleh Mahkamah Tinggi Syariah di sini pada Selasa terhadap pertuduhan menghina arahan pihak berkuasa agama kerana memiliki buku yang bertentangan dengan hukum syarak. 

Hakim Syarie Muhamad Abdul Karim Wahab turut memerintah Kamarulzaman Karim, 61, dihukum penjara dua bulan dan didenda RM1,000 bagi pertuduhan memiliki buku yang bertentangan dengan hukum syarak.

Mahkamah memerintahkan bapa kepada empat anak itu menjalani hukuman itu bermula hari ini.

Selain itu, mahkamah memerintahkan pihak pendakwaan yang diwakili Pegawai Pendakwa Syarie Kanan Zainor Rashid Hashim melupuskan kesemua dokumen atau buku tersebut dengan cara membakarnya.

Pada 22 April lalu, tertuduh mengaku bersalah menghina pihak berkuasa agama dengan cara memiliki dan menyimpan senaskhah buku bertajuk 'Al-Furqan' yang diharamkan melalui Fatwa Wilayah-Wilayah Persekutuan, yang diwartakan pada 25 Jan 2007.

Fatwa itu adalah berkaitan ajaran salah Haji Ahmad Kahar Haji Ahmad Jalal, yang menyatakan bahawa buku tulisan Ahmad Kahar bertajuk 'Al-Furqan-Pembeda' haram dicetak, diedar, dibaca, disimpan dan digunakan orang ramai.

Bagi kesalahan kedua, dia juga didakwa menyimpan buku bertajuk 'Al-Furqan dan Tabut-Penjelasan Tentang Segala Sesuatu' yang kandungannya bertentangan dengan hukum syarak.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 9 dan 13(b) Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda RM3,000.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di rumahnya, di Bandar Baru Sentul antara 1.15 pagi dan 1.50 pagi, 22 April lalu.

Terdahulu, Kamarulzaman, dalam rayuannya memohon mahkamah tidak mengenakan hukuman penjara atas alasan faktor umur selain insaf serta banyak menghadiri kursus pemantapan kerohanian anjuran Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan.

Artikel Lain