suria

Produk Coklat Cadbury Mungkin Tercemar - Subramaniam

Produk Cadbury yang disyaki tercemar perlu menjalani analisa sebelum keputusan muktamad dibuat beberapa bulan lagi.
PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan tidak menolak kemungkinan kewujudan DNA babi (porcine) dalam dua produk coklat Cadbury, disebabkan pencemaran sepanjang rantaian proses pembuatan coklat berkenaan.

Dua produk terbabit ialah coklat susu dengan kacang hazel dan coklat susu dengan buah badam.

Menterinya, Datuk Seri Dr S Subramaniam berkata, pihaknya akan melawat dan memeriksa kilang pembuatan coklat berkenaan, minggu ini.

"Keputusannya hanya akan diketahui dalam beberapa bulan lagi kerana perlu melalui pelbagai proses dan prosedur," katanya pada sidang media di sini, Isnin.

Terdahulu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengadakan pertemuan dengan syarikat pengeluar coklat berkenaan serta kementerian terbabit untuk membincangkan lebih lanjut berhubung penghasilan produk itu.

Subramaniam berkata, siasatan kejadian itu  dijalankan di bawah Akta Makanan 1983.

Sebelum ini dilaporkan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menggantung sijil halal terhadap dua produk coklat susu keluaran Cadbury Dairy Milk yang dikeluarkan Cadbury Confectionery Malaysia Sdn Bhd, berkuat kuasa serta-merta ekoran penemuan DNA babi dalam produknya.

Penemuan DNA itu dikesan oleh Kementerian Kesihatan, dalam produk coklat susu dengan kacang hazel dengan nombor kelompok (Batch no) 200813 M01HI2 dan coklat susu dengan buah badam dengan nombor kelompok (Batch No) 221013 N01RI1.

Selain itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah pula memaklumkan pihaknya mula menganalisa produk berkenaan pada 27 Februari lalu.

"Proses ini mengambil masa termasuk verifikasi dan pengesahan maklumat," katanya.


Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain