suria

Pemuda PAS Perak Selar Kenyataan Zahid Tentang Rela

Mohd Fakhrulrazi (berkopiah putih) menyerahkan kenyataan media berhubung kenyataan Ahmad Zahid kepada Menteri Dalam Negeri itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Hilir Perak di Teluk Intan, Ahad.

TELUK INTAN: Pengarah Jabatan Pilihan Raya Pemuda PAS Perak, Mohd Fakhrulrazi Mohd Mohktar menyelar kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkenaan dengan anggota Rela yang layak mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Teluk Intan.

Beliau yang juga Bendahari Dewan Pemuda PAS Pusat berkata, kenyataan Ahmad Zahid itu menunjukkan undi bukan lagi menjadi rahsia buat anggota Rela.

"Ia secara tidak langsung akan menimbulkan kebimbangan di kalangan anggota Rela memandangkan mereka tahu bahawa undi mereka sedang diperhatikan dan tidak lagi menjadi rahsia.

"Saya menasihatkan supaya Ahmad Zahid menghentikan ugutan-ugutan atau tawaran-tawaran kerana ia bertentangan dan etika pilihan raya itu sendiri," katanya.

Beliau berkata demikian kepada para pemberita selepas membuat laporan polis berhubung kenyataan Ahmad Zahid di Ibu Pejabat Polis Daerah Hilir Perak di sini, Ahad.

Ahmad Zahid pada Sabtu menyeru anggota Rela untuk mengundi di Teluk Intan dan menyokong calon BN, Datuk Mah Siew Keong.

Katanya, seramai 8,639 daripada 35,217 anggota Rela di Teluk Intan layak mengundi dan lebih 2,000 didapati tidak turun mengundi pada pilihan raya umum lalu.

Menurut Fakhrulrazi, beliau menasihatkan supaya Ahmad Zahid membezakan di antara tanggungjawab rasmi anggota Rela dan sebagai pengundi.

"Anggota Rela harus diberikan kebebasan sepenuhnya untuk memilih dan mengundi calon yang mereka inginkan dan tidak patut menjadikan 'undi' sebagai syarat untuk mereka diberikan peruntukan dan uniform baharu," katanya.

Beliau berkata demikian bagi merujuk tawaran Ahmad Zahid akan menggantikan uniform anggota Rela kepada yang baharu sekiranya membantu memastikan kemenangan calon BN, Datuk Mah Siew Keong.

"Walaupun kenyataan Ahmad Zahid mungkin bersifat jenaka tetapi percakapan sebagai menteri pada majlis rasmi diambil kira, terutama semasa kempen pilihan raya sedang berlangsung ketika ini," katanya.

Terdahulu, Fakhrulrazi menyerahkan kenyataan media berhubung kenyataan Ahmad Zahid kepada Menteri Dalam Negeri itu yang kebetulan berada di Ibu Pejabat Polis Daerah Hilir Perak.

Rela, Teluk Intan

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain