suria

Henti Tunding Jari Kepada BN - Muhyiddin

TELUK INTAN: Pakatan Rakyat perlu berhenti menunding jari kepadaBarisan Nasional (BN) berhubung insiden negatif yang berlaku pada kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Teluk Intan.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sebaliknya, pakatan perlu mempunyai bukti terhadap semua dakwaan berkenaan sebelum bertindak demikian.

"Adakah mereka mempunyai bukti? Adakah mereka dapat mengaitkan insiden yang berlaku berpunca daripada kita.

"Walaupun mereka membuat laporan polis, mereka perlu mendapatkan bukti dan maklumat mengenai perkara itu," katanya pada majlis pecah tanah lebuhraya Pantai Barat di sini, Ahad.

Beliau berkata demikian bagi mengulas dakwaan DAP bahawa penyebaran gambar seorang wanita berbikini yang didakwa calon parti itu, Dyana Sofya Mohd Daud merupakan angkara penyokong BN.

Pada Sabtu, DAP telah membuat laporan polis berhubung perkara itu.

Wanita di dalam gambar itu sebenarnya adalah pelakon Filipina, Pauleen Luna.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, BN tidak akan memandang rendah terhadap calon DAP semasa kempen dan hanya memberi tumpuan kepada mempromosikan calon mereka sendiri iaitu Presiden Gerakan, Datuk Mah Siew Keong.

Menurutnya, parti perlu bekerja keras untuk mendapatkan sokongan pengundi.

"Kita masih 'underdog' tetapi kita mempunyai peluang 50-50 untuk menang.

"Kerja kita masih belum selesai dan setiap parti komponen BN perlu bekerja bersama-sama untuk memastikan kita menang," katanya.

Teluk Intan, BN, DAP

Artikel Berikut

Artikel Lain