Tun Mahathir Sahkan Pelantikan Sebagai Pengerusi Proton - Semasa | mStar

Tun Mahathir Sahkan Pelantikan Sebagai Pengerusi Proton

Mahathir Mohamad.
KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengesahkan yang beliau akan dilantik sebagai Pengerusi Proton Holdings Bhd.

Pengumuman rasmi mengenainya dijangka diumumkan esok.
 
"Rancangan saya ialah untuk bekerja dengan Proton dan menjadikannya berjaya," katanya kepada pemberita di majlis Makan Malam Anugerah Pencapaian Kepemimpinan Tahunan Asian Banker 2014, di sini hari ini.

Laporan berita hari ini menyatakan Dr Mahathir akan dilantik sebagai Pengerusi Proton, yang dilihat sebagai langkah paling berani DRB-Hicom Bhd setakat ini dalam usaha menangani kemerosotan Proton sejak ia mengambil alih syarikat itu pada 2012.

Sejak menjadikan Proton milik swasta, DRB-Hicom telah berusaha menangani kemerosotannya dengan memberi tumpuan kepada pelbagai langkah transformasi pengurusan yang radikal.

Pelantikan Dr Mahathir dilihat sebagai langkah bijak memandangkan pengetahuan luas dan pengaruh bekas perdana menteri itu kepada industri berkenaan dan kerajaan.

Dr Mahathir yang juga penasihat pengeluar kereta perintis negara sejak bersara sebagai perdana menteri pada 2003, bagaimanapun tidak mengulas sama ada Pengerusi Eksekutif sekarang, Tan Sri Mohd Khamil Jamil akan berundur daripada jawatan berkenaan.

Laporan berita itu turut menyatakan Dr Mahathir juga akan dilantik sebagai Pengerusi Lotus Plc, anak syarikat milik penuh Proton dan difahamkan telah menerima kedua-dua pelantikan terbabit.

Pada zaman kegemilangannya, Proton yang mengeluarkan lebih 3.5 juta kenderaan di kilangnya di Shah Alam, Selangor dan Tanjung Malim, Perak, menguasai sehingga 85 peratus pasaran kereta domestik.

Bagaimanapun, disebabkan beberapa faktor, termasuk liberalisasi pasaran domestik sehingga menyebabkan kebanjiran kereta import murah, saingan daripada Perodua dan kajian semula Dasar Automotif Nasional, telah menyumbang kepada kemerosotan Proton.

Penguasaan pasaran domestik Proton kini hanya kira-kira 22 peratus manakala eksport secara bandingannya sangat sedikit.

Sementara itu mengenai anugerah berkenaan, Ketua Bahagian Syariah Bank Islam Malaysia Bhd telah memenangi Anugerah Jurubank Muda Harapan Asian Banker di samping tujuh pemenang lain daripada negara serantau.

Anugerah Pencapaian Kepemimpinan Asian Banker diiktiraf industri perkhidmatan kewangan sebagai anugerah tertinggi kepada profesional dan bank dalam industri berkenaan di Asia Pasifik dan Timur Tengah.
Mahathir Mohamad , Proton

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Agenda bumiputera masih keutamaan WKB 2030

STATISTIK oleh Institut Masa Depan Malaysia (Masa), bumiputera berada di bahagian bawah apabila ia berkaitan dengan pemilikan kekayaan dan tahap pendapatan.

default image

Percutian travel tren janjikan servis 'awesome' dan 1,001 pengalaman menakjubkan!

TRAVEL serata dunia lebih pantas dengan menggunakan kapal terbang tetapi amat menyeronokan jika tren menjadi pilihan.

default image

Populasi penduduk kunci utama PSKL2040

DBKL menekankan aspek populasi penduduk sebagai kriteria utama dalam merangka pelan pembangunan di ibu kota.

default image

CPA Australia platform berkualiti, pantas capai kelayakan perakaunan diiktiraf global

JIKA anda mempunyai kelayakan yang sewajarnya dalam industri perakaunan, perbankan dan kewangan, ia boleh memberikan prospek kerja dan kepelbagaian projek kepada anda.

default image

Penerima sulung Anugerah Ikon Pesara sebak imbau saat bersama kanak-kanak disleksia – “Persaraan berbaloi... ada jadi pilot, arkitek dan peguam”

KARNIVAL Rasa Sayang (KRS) 2019 anjuran KWAP membuka mata bakal pesara dan pesara untuk bergiat aktif selepas persaraan.

Artikel Lain