suria

Keluarga Harap Nailah Selamat Kembali Ke Pangkuan Ibu

JOHOR BARU: Keluarga Nailah Witra berharap kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun yang hilang sejak Jumaat lalu itu akan selamat pulang ke pangkuan ibunya.

Ahli keluarga terdekat yang hanya mahu dikenali sebagai Saiful berkata, kanak-kanak itu rapat dengan ibunya, Noor Syakila Abdul Halim, selain ibu dan bapa saudaranya.

"Kami mahu dia kembali dalam keadaan selamat secepat mungkin kerana kami merinduinya," katanya sambil menambah keluarganya mengadakan solat hajat sejak Nailah hilang pada 16 Mei lalu.

Saiful berkata, mereka juga cuba menghubungi keluarga bekas suami Noor Syakila, Abdul Latif Jufri Tew di Australia tetapi tidak mendapat sebarang maklumat mengenai bapa Nailah.

Beliau berkata, keluarganya tidak pernah menghalang Abdul Latif bertemu anaknya di sini, walaupun beliau bercerai dengan Noor Syakila sejak setahun lalu.

"Selalunya dia (Abdul Latif) datang ke sini dua kali atau sekali sebulan untuk bertemu Nailah sebelum pulang ke Australia.

"Bagaimanapun, kali ini dia tidak bermalam di sini,  dan datang dengan menaiki teksi," katanya.

Abdul Latif disyaki melarikan Nailah ketika Noor Syakila dan anaknya menemuinya di sebuah pusat membeli belah di sini.

Lelaki itu dikatakan menempah dua tiket penerbangan untuk dirinya dan Nailah.

Semasa mereka bertiga menonton wayang, Abdul Latif memberitahu bekas isterinya bahawa dia mahu membawa Nailah ke tandas, bagaimanapun kedua-duanya terus menghilangkan diri.

Sejak kehilangan mereka dilaporkan, polis meningkatkan kawalan terutama di pintu masuk dan keluar negeri itu termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Senai.

Pihak yang mempunyai maklumat mengenai Abdul Latif dan Nailah diminta menghubungi hotline polis, 07-2212999 atau membuat laporan polis di balai berdekatan.


Artikel Lain