suria

Miri Mungkin Ibu Negeri Sarawak Yang Baharu - Adenan Satem

Kuda laut adalah kebanggaan bandaraya Miri hingga diangkat menjadi maskot.

MIRI: Pembangunan pesat bandar Miri sejak ia mendapat status bandar raya pada 2005 mungkin boleh menggantikan bandar raya Kuching sebagai ibu negeri Sarawak yang baharu, kata Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem.

Beliau berkata berikutan banyak projek projek pembangunan dilaksanakan di bandar raya Miri sekarang, bukan satu perkara yang mengejutkan apabila bandar raya Miri boleh mengatasi populariti bandar raya Kuching pada masa akan datang.

"Bandar raya Miri begitu pantas mengejar kemajuan bandar raya Kuching dan bandar Sibu," katanya pada majlis pecah tanah projek Miri Central Park di sini, Ahad.

Miri dinaikkan taraf bandar raya pada 20 Mei 2005 dan sejarah yang dicipta menjadi bandar raya bukan ibu negeri yang pertama di negara ini untuk diberi status terbabit.

Mengenai projek taman itu, Adenan menyambut baik inisiatif kerajaan negeri dan swasta yang akan mengubah bandar raya Miri menjadi lebih bertenaga daripada sebelumnya.

Digelar sebagai pembangunan pinggir laut autentik yang pertama di negeri ini, Miri Central Park diliputi 6.28 hektar tanah dan dijangka siap pada awal 2016.

Taman ini yang dilaksanakan secara bersama antara Pantai Bayu Indah, ahli Kumpulan Samling dan Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (Pelita), yang dimiliki badan berkanun negeri.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Samling Datuk Seri Yaw Chee Ming yang turut berucap pada majlis itu berkata konsep Miri Central Park itu merupakan sebuah taman bandar yang akan menjadi venue untuk budaya, perayaan dan hiburan sepanjang tahun.

Beliau berkata antara ciri utama kawasan itu ialah laluan pejalan kaki pinggir laut 500 meter, sebuah amfiteater dan taman permainan yang besar untuk berkelah dan aktiviti air.

"Saya gembira untuk mengumumkan bahawa kami akan melabur RM40 juta bagi pembangunan taman ini," katanya. 

Artikel Lain