suria

Warga India Rasuah Polis RM92, Didenda RM4,000

JOHOR BAHARU: Seorang warga India dijatuhi hukuman denda RM4,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, Ahad selepas mengaku bersalah memberi suapan RM92 kepada seorang anggota polis, awal bulan ini.

Hakim Mohamad Haldar Abdul Aziz menjatuhkan hukuman itu terhadap Khosa Lakhwinder Singh, 23, selepas dia mengaku bersalah memberi suapan berkenaan kepada Lans Koperal Mohd Shamsul Baari Hasris dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulaijaya.

Ia sebagai dorongan supaya Mohd Shamsul Baari tidak mengambil tindakan terhadap rakannya, Mandeep Singh yang disyaki menipu polis dengan menyamar sebagai orang lain.

Tertuduh melakukan kesalahan itu di Lebuhraya Senai, Kulaijaya pada 11.45 malam, 6 Mei lalu dan didakwa mengikut Seksyen 214 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 21 bulan atau denda atau kedua-duanya sekali.

Tertuduh yang memiliki pasport sah masuk ke negara ini pada 28 April lalu.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Ridzuan Abd Malik dan tertuduh yang tidak diwakili peguam membayar denda berkenaan.


Artikel Lain