suria

Kaji Kerugian MAS Dalam Dasar Penerbangan Nasional - PAC

PETALING JAYA: Isu kerugian yang dihadapi syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) perlu ditangani dan diberi perhatian ketika proses penyususnan semula Dasar Penerbangan Nasional yang sedang berlaku ketika ini, demikian menurut Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Datuk Nur Jazlan Mohamed.

"Kerajaan seharusnya tidak hanya mempertimbang untuk melakukan penyusunan semula Dasar Penerbangan Nasional dari segi perubahan kawal selia atau peningkatan tahap keselamatan selepas insiden MH370.

"Namun perlu diberi perhatian juga mengenai kerugian besar MAS dan hala tuju syarikat penerbangan negara itu," katanya ketika dihubungi pada Ahad.

Tambah beliau pertumbuhan pesat syarikat penerbangan tambang murah sejak kebelakangan ini mengubah landskap industri penerbangan global.

"Tiada guna jika kita terus mempertahankan MAS jika ia gagal memenuhi peranannya.

"Berbanding sepatutnya mengembangkan laluan udara sebagai lambang kebanggaan negara, MAS sebaliknya membatalkan penerbangan membabitkan laluan KL-Tokyo-Los Angeles," katanya.

Selain itu Nur Jazlan yang juga Ahli Parlimen Pulai berkata, kerajaan tidak perlu menyuntik dana bagi menyelamatkan MAS menggunakan bon pencen Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebaliknya mempertimbangkan cadangan membuka syarikat penerbangan itu kepada pelabur luar.

"Isunya ialah sama ada kerajaan membelanjakan wang rakyat dengan bijak adalah lebih penting atau terus mendukung reputasi MAS sebagai entiti nasional," katanya.

Sebelum ini Nur Jazlan menggesa kerajaan menimbangkan untuk melepaskan pegangan dalam MAS daripada terus menanggung kerugian dan membukanya kepada pelabur asing.

MAS mengalami kerugian suku pertama berjumlah RM443.4 juta iaitu lebih tinggi daripada kerugian RM278.8 juta ditanggung bagi tempoh yang sama tahun lepas.

Insiden MH370 dikatakan menyumbang kepada kerugian lebih besar syarikat berkenaan.

Pada Februari, MAS mendedahkan laporan kewangan suku keempatnya yang menunjukkan kerugian RM343 juta.

Bulan lalu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan rombakan Dasar Penerbangan Nasional untuk mengukuhkan industri penerbangan negara.
MAS, PAC, MH370, Nur Jazlan Mohamed

Artikel Lain