suria

Kisah Budak Hilang Di Kota Kinabalu Semakin Rumit, Berbelit-Belit

KOTA KINABALU: Sudah seminggu Low Min You hilang dan kes kehilangannya menjadi semakin rumit apabila bapanya menukar peguamnya dan mengubah kisahnya kehilangannya.

Seorang rakan bapanya juga telah ditahan untuk disoal siasat.

Polis juga masih bingung tentang kekurangan maklumat yang diperolehi mengenai kanak-kanak itu dan kini, budak lelaki yang digelar You You itu dipercayai telah hilang lebih awal berbanding apa yang dikatakan sebelum ini.

Lebih buruk lagi, bapanya Yee Sheng, 31, telah memberikan cerita-cerita yang bercanggah mengenai apa yang telah berlaku pada malam kehilangan budak lelaki itu dilaporkan hilang.

Menurut sumber, lelaki itu kini mengubah ceritanya dengan berkata dia telah berhenti di tepi jalan di sepanjang pintasan Jalan Tuaran kira-kira pukul 4.20 pagi pada 9 Mei.

Katanya, dia kemudian keluar dari kenderaan pacuan empat rodanya untuk membuang air kecil di tepi jalan dan untuk merokok manakala Min You tidur di tempat duduk belakang.

Sumber berkata, apabila dia kembali ke trak itu, dia mendapati Min You telah hilang.

Dia pada mulanya memberitahu polis bahawa dia telah berhenti di sebuah stesen minyak di pusat bandar untuk membuang air kecil dan apabila dia kembali beberapa minit kemudian, trak bersama anaknya telah hilang.

Dia juga memberitahu polis bahawa trak itu ditemui beberapa jam kemudian di menara jam Atkinson di kawasan Signal Hill, kira-kira 2 km dari stesen minyak dan Min You tidak ada di dalamnya.

Dengan kisah terbaru yang rumit dan berbelit-belit ini, ternyata budak lelaki berusia tiga tahun itu telah hilang sekurang-kurangnya satu jam lebih awal, tidak seperti yang dilaporkan dan pada jarak kira-kira 15 km dari pusat bandar.

Selain itu, klip video 25 saat yang sedang tersebar secara meluas melalui aplikasi WhatsApp dengan seorang wanita mendakwa Min You telah ditemui di sebuah kondominium di Bukit Padang di sini.

Di dalam video itu, perempuan yang tidak dikenali itu juga mendakwa Yee Sheng bertanggungjawab dalam penculikan kanak-kanak itu dan dia akan disumbat ke penjara selama 15 tahun.

Sebelum ini, terdapat mesej yang tersebar di media sosial yang Min You telah dilihat bersama dengan pasangan lain di sebuah hotel di Keningau. Semua cerita-cerita ini telah dibuktikan palsu oleh pihak polis.

Dalam satu lagi kisah, Yee Sheng dan isterinya Yong Siou Yee, 26, yang kedua-duanya di bawah tahanan reman polis, telah menggugurkan peguam Ram Singh sebagai peguam mereka. Mereka telah melantik peguam lain, Ronny Cham, untuk mewakili mereka.

Ram mewakili pasangan itu dalam perbicaraan reman mereka pada Khamis.

Beliau enggan mengulas mengenai langkah itu dan berkata terpulanglah kepada pasangan itu untuk membuat keputusan siapa yang mereka mahu pilih sebagai peguam mereka.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata polis sedang membuat pengesahan sama ada Min You memang telah hilang dari pintasan Jalan Tuaran atau pun stesen minyak.

"Terdapat banyak sebab mengapa kita mahu ibu bapa direman," katanya.

Pihak polis juga telah menahan seorang rakan Yee Sheng berusia 31 tahun.

Hamza berkata lelaki itu menyerah diri di Balai Polis Kota Kinabalu di Karamunsing pada malam Rabu.

"Kami percaya bahawa dia boleh membantu menjelaskan mengenai kes itu," katanya.

Artikel Lain