suria

Bekas Timbalan Penolong Pengarah Imigresen Sabah Didakwa Rasuah

KOTA KINABALU: Bekas pegawai kanan Jabatan Imigresen mengaku tidak bersalah di Mahkamah Khas Rasuah terhadap enam pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM12,371 pada 2012.

Ag Ku Mohd Shaifull Ampuan Ag Damit, 42, bekas Timbalan Penolong Pengarah Imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu didakwa menerima RM2,000 daripada Kent Ng Thien Ming supaya tidak mengambil tindakan terhadapnya menggaji pekerja asing tanpa permit kerja yang sah di City Kopitiam di sini.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di pejabat Jabatan Imigresen Malaysia Sabah pada 11 Sept 2012.

Ag Ku Mohd Shaifull juga didakwa menerima RM10,000 daripada Ng di tempat yang sama pada 16 Okt 2012 atas alasan sama.

Tertuduh juga didakwa bersetuju menerima rasuah, dalam bentuk pemberian sebuah akuarium bernilai RM371 daripada Ng di tempat dan tarikh yang sama.

Bagi ketiga-tiga pertuduhan itu, Ag Ku Mohd Shaifull didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.

Tertuduh juga didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan bagi tiga pertuduhan itu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Hakim Ishak Bakri membenarkan Ag Ku Mohd Shaifull diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 16 Jun bagi pengurusan kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya daripada SPRM Joyce Blasius manakala Ag Ku Mohd Shaifull diwakili peguam Ram Singh.

Artikel Sebelum

Artikel Lain