suria

Katak, Burung Tarikan Pelancongan Sarawak

KUCHING: Sarawak mengharapkan minat kepada spesies burung dan katak akan menarik lebih ramai pelancong ke negeri ini tahun ini, kata Menteri Pelancongannya, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata, bengkel mengenai katak dan burung, selain daripada program kesedaran tentang warisan adalah antara latihan baru kepada pemandu pelancong bermula tahun ini untuk pelancong yang mempunyai minat khusus.

"Dalam usaha kita untuk memenuhi permintaan pakej eko-pelancongan, hala tuju pembangunan kapasiti pelancongan adalah untuk naik ke atas rantaian nilai dengan memberikan lebih latihan dalam pemanduan pelancong untuk minat khusus dan lain-lain kemahiran insaniah dalam penyampaian perkhidmatan," katanya.

Beliau berkata, demikian dalam ucapan penggulungan bagi kementeriannya di sidang Dewan Undangan Negeri di sini, Rabu.

Abang Johari berkata, bengkel mengenai katak diadakan April lalu di Taman Negara Kubah untuk memberikan kefahaman, kesedaran dan latihan fizikal mengenai katak kepada pemandu pelancong.

Beliau berkata, satu bengkel mengenai burung akan diadakan Ogos ini dengan matlamat menimbulkan minat terhadap kajian dan pemuliharaan burung.

"Program kesedaran warisan juga dijadualkan pada tahun ini untuk memberikan kesedaran dan pengetahuan yang lebih mendalam mengenai tarikan warisan Sarawak," katanya.

Beliau berkata, pihaknya menjangkakan ketibaan pelancong di Sarawak mencecah 4.6 juta tahun ini.

Untuk suku pertama 2014, Sarawak menerima 1.11 juta ketibaan pelawat, naik 5.3 peratus berbanding tempoh yang sama pada 2013," katanya.

Pada keseluruhan tahun lalu, beliau berkata, ketibaan pelancong ke negeri ini berjumlah 4.3 juta orang yang menjana pendapatan sebanyak RM9.2 bilion. 


Artikel Lain