suria

BN Masih Kekal Memerintah Terengganu - Penasihat Undang-Undang Negeri

Dewan Undangan Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman.

KUALA TERENGGANU: Barisan Nasional (BN) masih kekal memerintah Terengganu walaupun tiga wakil rakyatnya dari Umno mengisytiharkan diri mereka sebagai wakil Bebas, kata penasihat undang-undang negeri, Datuk Azhar Abdul Hamid.

Beliau berkata, walaupun bilangan wakil rakyat BN berkurangan daripada 17 kepada 14 dan pembangkang mempunyai 15 anggota dalam dewan undangan negeri, speaker juga dikira sebagai wakil kepada kerajaan negeri yang memerintah dengan kedudukan kerusi 15:15:3.

Tiga wakil rakyat yang mengisytiharkan keluar daripada Umno ialah bekas menteri besar dan anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Kijal, Datuk Seri Ahmad Said, yang meletakkan jawatan sebagai ketua eksekutif pada Isnin, Ghazali Taib (Ajil) dan Roslee Daud (Bukit Besi).

Azhar ketika dihubungi Bernama, berkata speaker DUN turut dikira bersama 14 Adun BN yang masih tinggal dan dengan itu kerajaan BN masih kekal memerintah negeri ini.

Selepas Ahmad meletakkan jawatan sebagai menteri besar pada Isnin, Adun Seberang Takir yang juga Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi dan Inovasi, Tenaga, Teknologi Hijau Negeri Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar yang baharu malam Isnin.

Azhar berkata, pihaknya kini sedang meneliti beberapa undang-undang negeri untuk dirujuk berhubung perkembangan politik di Terengganu ketika ini. 

Sementara itu, Badan Perhubungan PAS Terengganu mengadakan mesyuarat khas di sini dan Pesuruhjaya PAS Negeri Satiful Bahri Mamat dalam satu kenyataan berkata, "tindakan yang perlu sedang diambil" dan "kami akan memutuskan perkara yang terbaik bagi menyelesaikan kemelut ini" .

PAS mempunyai 14 wakil di dewan undangan negeri dan PKR, satu.


Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain