suria

Catuan Air Ditarik Balik Setelah Kerajaan Selangor Beri Jaminan Air Mencukupi - Ongkili

Maximus Ongkili.

KUALA LUMPUR: Langkah Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) menarik balik catuan air di Selangor dan Kuala Lumpur dibuat setelah kerajaan Selangor memberi jaminan air mentah di negeri itu mencukupi. 

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata, kerajaan negeri memberi jaminan air mentah di sepanjang Sungai Selangor mencukupi berikutan hujan, dan pengepaman air mentah sebanyak 950 juta liter sehari (JLH) daripada lombong-lombong berhampiran.

"Jaminan air mentah mencukupi untuk diabstrak oleh lima buah loji di sepanjang Sungai Selangor adalah perlu kerana air mentah terletak di bawah bidang kuasa kerajaan negeri," katanya dalam satu kenyataan di sini, Rabu.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengumumkan bahawa Kerajaan Selangor pada Rabu memutuskan untuk menghentikan pelan tindakan catuan air serentak di semua kawasan terlibat mulai Khamis.

Ongkili berkata, kementerian dan SPAN juga telah diberi jaminan oleh kerajaan negeri bahawa air lombong yang dipam untuk menambah aliran air di Sungai Selangor telah diuji dan mematuhi parameter ditetapkan dalam Garis Panduan Air Minum Kebangsaan yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan. 

Ongkili berkata, kementerian turut dimaklumkan usaha mengepam air lombong untuk menambah aliran air di Sungai Selangor telah dijalankan sejak tiga bulan lepas.

Katanya, air lombong tidak dipam terus ke loji-loji rawatan, sebaliknya dialirkan ke sungai untuk menaikkan paras air sungai sedia ada.

Bagaimanapun, Ongkili menegaskan bahawa paras air di empangan khususnya Empangan Sungai Selangor masih belum melepasi paras selesa.

Setakat Rabu, katanya, taburan hujan kebanyakannya jatuh di hiliran sungai dan sedikit di kawasan tadahan empangan.

"Berikutan itu, langkah berjaga-jaga dan usaha untuk memenuhi empangan tersebut melalui pengurangan pelepasan air mentah dan pembenihan awan perlu diteruskan oleh kerajaan Selangor," katanya.

Langkah penjimatan dilakukan pengguna semasa catuan dua bulan lepas perlu diteruskan untuk memastikan simpanan air mentah boleh bertahan lama terutama ketika musim panas kedua yang dijangka pada Jun dan Oktober depan, kata Ongkili.


Artikel Lain