suria

PAC Akan Muktamadkan Laporan Prosiding klia2

Nur Jazlan (kiri) bersama Tony Fernandes ketika sidang media selepas mesyuarat PAC berhubung klia2 di Bangunan Parlimen, Isnin.

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) akan memuktamadkan laporan prosiding lapangan terbang baharu, klia2, yang mengandungi percanggahan kenyataan antara AirAsia Bhd dan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB).

Pengerusi PAC, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata laporan itu kemudian akan dibentangkan di Parlimen tidak lama lagi.

"Ia proses yang panjang (untuk menyiapkan laporan). Kita cuma bantu (selesaikan masalah) dan siasat dengan terperinci. Kita bukan cari salah siapa-siapa.

"PAC cuma mahu mendapatkan penjelasan semua pihak berkepentingan sebagai 'lesson learned' dan input bagi projek lapangan terbang di masa akan datang," katanya sambil menambah klia2 tetap beroperasi pada 2 Mei ini seperti dijadualkan.

Beliau berkata demikian selepas mesyuarat berhubung prosiding klia2 yang dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes, Pengerusi Eksekutif AirAsia Bhd Datuk Kamarudin Meranun dan CEO AirAsia Bhd Aireen Omar.

Prosiding Isnin adalah lanjutan dua prosiding klia2 terdahulu yang membabitkan Kementerian Pengangkutan dan diikuti oleh MAHB.

Nur Jazlan berkata dalam mesyuarat itu, AirAsia menafikan beberapa isu antaranya keselamatan di landasan, parkir, teksi, sistem pemprosesan penumpang seragam, jambatan udara, muzium kapal terbang, spa dan perluasan saiz di luar terminal bagi menampung penggunaan kapal terbang SuperJumbo A380.

Beliau menekankan wujudnya pertindihan kepentingan di antara MAHB sebagai pengawal selia dan AirAsia sebagai pelanggan dominan yang bakal menggunakan 80 peratus lapangan tebang baharu tersebut.

Oleh itu, Nur Jazlan berkata AirAsia mencadangkan penubuhan Suruhanjaya Penerbangan Negara agar kerajaan boleh mendengar pelbagai pendapat dari pesertan industri sebelum membuat sebarang keputusan berhubung industri penerbangan negara.

Beliau turut berkata projek klia2 adalah berdasarkan tender secara terbuka dan tidak melibatkan unsur penyelewengan, pemborosan dan ketirisan.

Katanya PAC juga telah memohon kepada MAHB untuk membekalkan semua senarai konsultan terbabit dalam projek pembinaan KLIA2 bagi meneliti kelayakan dan rekod konsultan ini.

Nur Jazlan berkata antara isu lain yang berbangkit adalah kos penyambungan landasan kereta api antara KLIA dan klia2 yang disifatkan 'perlu diperjelaskan'.

Artikel Lain