suria

Naib Presiden Parti Cinta Malaysia Timbang Tanding PRK Bukit Gelugor

PETALING JAYA: Naib Presiden Parti Cinta Malaysia (PCM), Datuk Huan Cheng Guan sedang mempertimbangkan untuk bertanding pada pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Bukit Gelugor 25 Mei ini.

Beliau berkata, keputusan itu bukan disebabkan oleh sebarang motivasi untuk pengagungan kedudukan diri sendiri, tetapi kerana percaya bahawa terdapat keperluan yang mendesak untuk mengisi ruang di Parlimen supaya negara ini boleh bergerak ke hadapan.

"Tidak dinafikan, rekod pencapaian saya sebagai bekas naib presiden Gerakan, pernah menjadi Ahli Parlimen Batu Kawan dari 2004 sehingga 2008, dan kini menjadi Naib Presiden Parti Cinta Malaysia telah memperkayakan pengalaman dan kebolehan saya.

"Jika saya membuat keputusan (untuk bertanding), saya akan mengumumkan manifesto pilihan raya pada hari pencalonan," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Huan berkata, pada masa ini beliau ikhlas dengan kesanggupannya berkhidmat untuk rakyat Malaysia tanpa rasa gentar atau pilih kasih, dan paling penting dengan bersandarkan moral dan hati nurani yang kuat. 

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 25 Mei sebagai hari mengundi untuk PRK Parlimen Bukit Gelugor manakala penamaan calon ditetapkan pada 12 Mei ini.

Pilihan raya itu diadakan berikutan kematian penyandangnya Karpal Singh, yang terlibat dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 306.1 Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Gua Tempurung di Kampar, Perak pada 17 April lalu.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) pada Mei tahun lalu, Karpal Singh memenangi kerusi itu dengan majoriti 41,778 undi menewaskan calon Barisan Nasional, Teh Beng Yeam.


Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain