suria

KPDNKK Sasar Periksa 2.5 Juta Premis Tahun ini

Gambar Hiasan. Penguatkuasa KPDNKK giat menjalankan tugas pemeriksaan di seluruh negara

KUALA LUMPUR: Ops Diesel antara empat operasi yang dirangka unit penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) bagi mencapai sasaran memeriksa 2.5 juta premis sepanjang tahun ini.

Berikutan itu, pasukan khusus diwujudkan bagi setiap operasi terbabit untuk memantapkan unit penguatkuasa kementerian itu.

Pengarah Penguatkuasa KPDNKK, Roslan Mahyuddin, berkata langkah itu bagi memenuhi Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang menjadi landasan bagi menilai pencapaian semasa unit berkenaan.

"Usaha yang dilakukan ini seiring pengumuman 2014 sebagai tahun penguatkuasa untuk kementerian ini. Susulan itu, empat operasi dirancang dengan teliti iaitu Ops Harga, Ops Gores dan Ops Banteras Cetak Rompak, selain Ops Diesel bagi menggempur kumpulan sasar terbabit," katanya kepada mStar Online, Selasa.

Roslan berkata, bagi mencapai matlamat yang ditetapkan, pihaknya mengubah strategi operasi dengan mengarahkan cawangan di setiap negeri supaya meningkatkan kegiatan pemeriksaan masing-masing.

"Setakat bulan ini, jumlah pemeriksaan yang dicatatkan mencapai 450,000 premis dan usaha akan dipergiatkan bagi mencapai sasaran KPI," katanya.

Beliau berkata, bagi memastikan strategi yang diatur ini berjaya, pihaknya turut membentuk pasukan pengkuatkuasa khusus untuk setiap operasi berkenaan.

Sementara itu, di BACHOK, Menterinya, Datuk Seri Hasan Malek berkata, pihaknya akan bertindak lebih tegas terhadap penyeludup minyak diesel dan petrol bersubsidi ke negara jiran.

Beliau berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan pasukan polis, tentera dan Rela bagi membanteras kegiatan yang boleh meruntuhkan ekonomi negara itu.

"Kita akan bertindak tanpa belas kasihan dan jangan salahkan kerajaan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan tepung gandum cap bunga ros di Kampung Gelung Buluh, Beris Kubur Besar di sini, petang semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kegiatan penyeludupan yang dilihat semakin menular berikutan penyeludup memperoleh keuntungan besar berdasarkan perbezaan harga bahan bakar berkenaan, hampir dua kali ganda di negara jiran.

Hasan berkata stesen minyak yang didapati bersubahat dalam penjualan diesel dan petrol untuk tujuan penyeludupan juga akan dikenakan tindakan tegas termasuk ditarik balik lesen perniagaan mereka.


penguatkuasa, KPDNKK, premis

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain